SEBUT sahaja nama beliau, minda khalayak segera terbayang kepetahan bicara dan lelucon mencuit hati sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi.

Begitulah personaliti yang dimiliki oleh pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad. Sifatnya yang gemar berjenaka dan ceria membuatkan ramai kurang cakna terhadap kotak perasaan wanita berusia 38 tahun itu.

Rajin berkongsi rutin melakukan aktiviti fizikal di media sosial beberapa bulan lalu, pemilik nama lengkap Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad itu menjadi sasaran warga maya yang memperkatakan tentang inisiatifnya menurunkan berat badan.

 

Baca juga: Membeli-belah bantu Fatin lepaskan diri daripada fikiran negatif

Baca juga: Gemar kumpul jersi bola jaring Syazuwan Hassan seimbang antara kesihatan gaya

 

Kongsi Sherry, tindakannya itu bukanlah untuk menjaga penampilan semata-mata, tetapi ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bebas daripada sebarang penyakit kronik.

Kepada SinarPlus, pelakon filem Saka Nan Sepi itu turut menceritakan tentang pengalaman menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah. Bukan satu hal yang mudah, tetapi fizikal sebegitu sering menjadi bahan gurauan yang menghiris hatinya.

Berusaha untuk mengatasi hal tersebut, Sherry terus bertekad untuk membebaskan diri daripada terus dibelenggu rasa rendah diri dan pada masa sama, membentuk keyakinan terutama apabila berada di depan khalayak.

Ikuti temu bual SinarPlus bersama beliau bagi mengetahui perjalanannya menurunkan berat badan.

SINARPLUS (SP): Sejak kebelakangan ini, Sherry dilihat rancak berkongsi tentang rutin melakukan senaman di media sosial. Adakah anda sedang merancang untuk menurunkan berat badan?

SHERRY ALHADAD: Sejujurnya niat untuk menurunkan berat badan itu sudah lama difikirkan sejak di bangku sekolah lagi kerana saya memang boleh dikatakan obes sekitar usia empat tahun. Mungkin dulu, saya

menganggapnya (masalah berat badan) sebagai satu hal yang biasa. Namun, apabila difikirkan semula, saya sudah menghampiri usia 40 tahun dan juga merupakan seorang wanita. Sebenarnya, terdapat beberapa perkara yang saya tidak dapat lakukan disebabkan memiliki fizikal sebegini.

Justeru, salah satu pendekatan untuk atasi masalah ini adalah saya amalkan produk jus kelangsingan badan dan melakukan aktiviti fizikal. Setiap kali ada masa terluang, saya akan pegi ke gimnasium kerana percaya penurunan berat badan akan menjadi cepat dan semula jadi. Alhamdulillah, bersenam dan kawalan pengambilan makanan membantu saya mengurangkan sekitar 16 hingga 18 kilogram dalam tempoh tiga bulan.

SP: Adakah disebabkan nasihat doktor atau mengalami sebarang penyakit kronik membuatkan anda berhasrat untuk mengurangkan berat badan?

SHERRY: Saya telah membuat pemeriksaan kesihatan dan doktor mengatakan tiada sebarang penyakit seperti kegagalan buah pinggang, kencing manis atau sebagainya. Namun, doktor mengatakan, jika saya tidak melakukan sesuatu sekarang, besar kemungkinan saya akan menuju ke arah itu (menghidap penyakit berisiko). Disebabkan itu, saya mengambil langkah berjaga-jaga dan berusaha untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Iklan

SP: Bagaimana pula dengan reaksi individu sekeliling terhadap usaha anda untuk menurunkan berat badan?

SHERRY: Terdapat sebilangan yang mengatakan saya tidak boleh kurus dan perlu kekalkan bentuk badan seperti sekarang kerana ini merupakan ‘jenama‘ Sherry Alhadad. Namun, sejujurnya saya ada berfikir ke arah itu, tetapi kadangkala perkara sebegitu membuatkan saya berperang emosi dengan diri sendiri.

Bayangkan, untuk tempoh 37 tahun, saya hidup dengan saiz begini dan apabila wujud inisiatif menurunkan berat badan, saya bertanya dengan diri sendiri, adakah orang akan menerimanya? Adakah saya akan berasa selesa dengan bentuk badan baharu itu nanti? Apakah hal ini akan menggembirakan saya? Segala persoalan itu bagaikan teka-teki untuk saya hadam satu persatu.

Bagaimanapun, jujur dengan seikhlas hati, saya gembira dengan keadaan saya sekarang. Tidak mengira sebarang saiz atau bentuk fizikal, saya tetap ceria dan mendoakan agar apa yang dilakukan ini satu istiqamah kerana hati manusia mudah dibolak-balikkan. Saya berpendapat, perubahan berat badan ini merupakan salah satu usaha untuk keluar daripada kepompong zon selesa lebih-lebih apabila dahulu saiz ‘tiga angka‘, tetapi sekarang ini ‘dua angka‘.

SP: Perubahan daripada tiga angka kepada dua angka itu satu pencapaian yang cukup membanggakan. Jadi, setelah bentuk badan berubah, apakah yang anda lakukan dengan koleksi pakaian terdahulu?

SHERRY: Sebahagian saya memberikan kepada mereka yang memerlukan atau mahukannya. Ada yang saya simpan sebagai kenangan. Walaupun kelihatan seperti remeh, tetapi saya agak sentimental juga orangnya (ketawa).

Iklan

SP: Individu yang bertubuh gempal sering kali dijadikan sasaran pembuli dan berasa kurang berkeyakinan berhadapan dengan masyarakat disebabkan fizikal mereka. Bolehkah anda kongsikan cara bagaimana untuk memotivasikan diri bagi berhadapan dengan situasi sebegitu?

SHERRY: Sebenarnya saya dulu pernah dibuli di sekolah. Saya sering dipersendakan dan pernah ditendang tanpa sebab. Bila difikirkan semula, saya memang rasa kecewa. Namun, saya anggap ia sebagai pembakar semangat dan sentiasa berfikir bahawa perkara sebegitu tidak akan dapat menjatuhkan orang.

Sejujurnya, saya menemui keyakinan diri dan menjadi seperti apa sekarang di Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan. Sekadar cadangan, menyertai kelas lakonan, kelab teater atau menyertai aktiviti seni persembahan, antara cara untuk mengatasi rasa rendah diri dalam diri. Di sana saya menemui ‘Sherry Alhadad‘ seperti yang anda lihat sekarang.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram