SUKAN merupakan guru terbaik dalam memupuk pengajaran kehidupan dan nilai murni yang penting untuk golongan muda.

Itu kesimpulan yang dicapai oleh barisan panel dan pakar pelbagai sektor termasuk kerajaan, pendidikan, korporat dan syarikat permulaan menerusi webinar Forum Kecekalan Tangga Kejayaan (The Grit Advantage) MILO yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Forum berkenaan menampilkan Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim di samping empat individu lain seperti Naib Presiden Kanan Pemasaran, Produk dan Perkongsian, Kolej Universiti Antarabangsa INTI, Timothy Johnson; Pengarah Eksekutif Sumber Manusia, Nestlé (Malaysia) Berhad, Shahzad Umar; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Talentbank, Ben Ho dan Pengasas, Grow the Goose dan Borneo Cocoa, Nina Othman.

Semua panel sependapat bahawa nilai-nilai positif yang dipupuk menerusi sukan seperti azam, kesungguhan, usaha daya dan disiplin adalah asas utama kecekalan yang turut tertanam dalam minda, semangat dan sikap juara tidak akan gentar.

Pencapaian yang diperoleh menerusi sukan tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya hasil latihan, ketekunan dan usaha bertahun-tahun lamanya, kata mereka.

Justeru, barisan panel bersetuju bahawa sukan adalah pelengkap akademik yang terbaik, malah mustahak untuk menyokong perkembangan awal kanak-kanak.

Laporan Kecekalan Tangga Kejayaan MILO

Menurut Laporan Kecekalan Tangga Kejayaan MILO yang diterbitkan, kecekalan iaitu tekad dan kesungguhan untuk mencapai matlamat jangka panjang dan bermakna dikenal pasti oleh 80 peratus pendidik dan majikan di Malaysia sebagai sifat kritikal yang mendorong kecemerlangan kanak-kanak pada masa hadapan.

Sifat berkenaan merangkumi lapan nilai murni yang penting, baik untuk perkembangan awal kanak-kanak mahupun dalam usaha mempersiapkan mereka ke arah kejayaan masa hadapan dengan keberanian, keazaman, ketahanan, kegigihan, tekad, ketekunan, ketabahan dan kecemerlangan.

Namun begitu, generasi muda kini dilihat kekurangan sifat cekal apabila cepat berputus asa apabila berhadapan dengan cabaran atau kegagalan. Mereka juga didapati kerap bertukar minat tanpa membina kemahiran yang sebenar.

Laporan Kecekalan Tangga Kejayaan MILO itu juga, 79 peratus majikan berkata, perjalanan karier yang tidak konsisten atau sering bertukar-tukar pekerjaan dalam kalangan golongan profesional muda turut mencerminkan masalah berkenaan.

Mengulas lanjut mengenainya, Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa hari ini yang dalam persiapan mengatur anak-anak untuk masa hadapan.

Ng Su Yen.

Su Yen berkata, sebagai rakan kerjasama kepada ibu bapa, MILO menerajui usaha untuk melengkapkan mereka dengan perspektif pakar dalam membesarkan anak-anak mereka dengan nilai-nilai kecekalan untuk abad ke-21.

“Nilai-nilai yang dipelajari oleh anak-anak sejak usia muda akan dibawa ke alam dewasa kelak. Jadi, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam menyuntik sifat kecekalan dalam diri anak-anak bermula dari sekarang,” katanya.

Berikut adalah antara petikan kata barisan panel:

“Kecekalan menyumbang kepada perkembangan positif, khususnya dalam konteks pelajar. Antara perkara yang penting dalam memupuk kecekalan ialah sikap diri iaitu motivasi untuk menguasai sesuatu tugasan dan usaha untuk mencapai matlamat positif tertentu. Keduanya, sikap dan hubungan dengan rakan-rakan sebaya. Ketiganya, persekitaran sekolah, sokongan dan suntikan semangat guru serta iklim disiplin di dalam sekolah itu sendiri.”

– Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

“Kecekalan itu ibarat tabiat. Jika tidak dipupuk pada usia muda, lama-kelamaan ia akan menjadi lebih rumit untuk dibentuk. Justeru, peranan ibu bapa dan pendidik untuk memupuk kecekalan dalam kanak-kanak pada usia muda adalah amat penting.”

Iklan

– Naib Presiden Kanan Pemasaran, Produk dan Perkongsian, Kolej Universiti Antarabangsa INTI, Timothy Johnson.

“Para pelajar seharusnya digalakkan untuk keluar menerokai minat dan membuat pilihan masing-masing. Tidak mengapa jika mereka gagal kerana setiap jatuh itu ada bangunnya. Ambil pengajaran daripada kegagalan.”

– Pengarah Eksekutif Sumber Manusia, Nestlé (Malaysia) Berhad, Shahzad Umar.

Iklan

“Majikan memandang serius kekerapan bertukar-tukar pekerjaan kerana ia tanda kurangnya komitmen terhadap matlamat jangka panjang tau tanda kurangnya kecekalan. Golongan muda dan graduan baharu perlu ada anjakan paradigma. Mereka berbakat tetapi tidak konsisten dan ini menjejaskan perniagaan.”

– Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif, Talentbank, Ben Ho.

“Kecekalan itu wujud dalam diri kanak-kanak sejak kecil lagi. Persoalannya sama ada kita memupuk kecekalan itu atau tidak sahaja.”

– Pengasas, Grow the Goose dan Borneo Cocoa, Nina Othman.