SUSU kambing juga merupakan sumber kalsium untuk tumbesaran manusia.

Pun demikian, produk minuman itu lazimnya berbau kuat disebabkan kandungan bahan kimia semula jadi asid kaproiknya.

Namun demikian, rugi jika susu yang padat dengan nutrisi dan kebaikan ini ditolak begitu sahaja hanya kerana baunya!

Mengakui akan perkara itu, SinarPlus berkongsi pandangan Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim.

Ujar Dr Fatimah, masyarakat perlu ambil tahu tentang kelebihan susu kambing.

Beritahu pakar itu, antara manfaat mengambil susu kambing adalah ia kurang menyebabkan alahan.

“Ini kerana susu berkenaan kurang kandungan protein Alpha S1 Casein dan kandungan oligosakarida susu kambing juga signifikan yang mana boleh menjadi sumber prebiotik (makanan kepada bakteria baik dalam usus besar) untuk kesihatan usus.

“Walaupun susu kambing tinggi kandungan lemak tepu, gumpalan saiz lemaknya adalah lebih kecil kerana kurang kandungan agglutinin, maka ia mudah dihadam,” tambah beliau.

Untuk pengetahun pembaca SinarPlus, susu kambing mempunyai sekitar 12 peratus kandungan gula laktosa daripada susu lembu.

Oleh itu, ia sesuai untuk mereka yang mengalami masalah menghadam laktosa (lactose intolerance).

Bukan itu sahaja, susu kambing juga tinggi kandungan asid lemak penting omega-6 dan omega-3 yang sangat penting untuk imuniti, menyeimbangkan kolesterol darah dan kesihatan jantung, kata Dr Fatimah.

“Selain tinggi kandungan 7 daripada 10 jenis asid amino penting threonine, leucine, lysine, cystine, tyrosine, phenylalanine dan valine, susu kambing juga kaya dengan kandungan antioksida seperti flavanoids, gallic acids dan diterpens.

“Susu kambing juga dipenuhi dengan mineral (macro dan micro) seperti potassium, magnesium, selenium, calcium, phosphorus, dan sodium yang dapat membantu metabolisma zat kalsium dan fosforus dalam badan,” terangnya.

Oleh kerana susu kambing mempunyai komposisi komponen kimia yang lebih stabil, ujar pakar itu, ia sangat berbeza daripada sifat susu lembu yang menghalang serapan nutrisi terutamanya zat besi.

Iklan

Sebaliknya, susu kambing membantu serapan badan (bioavailabilities) nutrisi seperti zat besi, kuprum, asid amino, vitamin larut lemak daripada makanan lain jika diambil bersama.

“Begitu juga jika zat besi tambahan seperti dalam bentuk ferrous sulfate yang diambil bersama dengan susu kambing juga menunjukkan peningkatan dalam serapan badan.

“Kesan ini disebabkan oleh susu kambing yang kaya dengan rantaian sederhana triglycerides atau triacylglycerides, vitamin A, vitamin C dan mineral yang mungkin membantu dalam jumlah serapan nutrisi tersebut dalam badan,” ujarnya lagi.

Iklan

Selain itu, pengambilan susu kambing juga boleh membantu badan memanfaatkan penggunaan zat kalsium kerana kurang berlakunya interaksi antara kalsium dan zat besi.

“Maksudnya di sini sekiranya susu kambing diambil bersama makanan yang kaya nutrisi terutamanya zat mineral seperti kurma, ia boleh membantu mereka-mereka yang memerlukan tambahan mineral seperti zat besi dalam diet harian.

“Rugi tidak minum susu kambing kan? Namun, usahlah berlebihan. Berpada-padalah dan ambil tahu tahap kesihatan diri anda supaya mudah untuk mempertimbangkan manfaat atau mudarat sesuatu makanan terhadap kesihatan anda. Ingat, segala yang berlebihan boleh membawa mudarat,” pesan Dr Fatimah.

Sebagai tambahan, pakar itu turut menyifatkan, secara perbandingan susu kambing segar dua kali ganda lebih tinggi manfaat serapan nutrisi dibandingkan dengan susu kambing skim dan sifat mudah hadam susu kambing juga adalah sebab ia dijadikan sebagai susu formula bayi. Semoga perkongsiaan ini memberi manfaat kepada kita bersama!