KEMUNCULAN pelakon Fify Azmi dalam industri hiburan tempatan mula mencuri perhatian khalayak menerusi karya sulung beliau di layar perak pada tahun 2019 bertajuk Wira.

Nampaknya, pertaruhannya berbaloi apabila beliau dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) baru-baru ini.

Ya, biarpun memiliki imej gaya potongan rambut pendek dan gemarkan sukan lasak, Fify atau nama lengkapnya Nur Afiqah Mohamed Azmi sebelum ini merupakan antara finalis Dewi Remaja 2014/2015 yang sinonim dengan personaliti ayu dan lemah lembut.

 

Baca juga:  Ketahui 3 minuman yang mampu meroket kadar kolesterol dalam badan

 

Memasuki usia 31 tahun pada 10 April lalu, wanita yang mesra disapa sebagai Fify itu diajak untuk berkongsi rutin hariannya dalam menjaga kesihatan dan penampilan diri dengan SinarPlus.

Kata Fify, penjagaan kedua-dua perkara itu amat penting, meskipun sekadar duduk di rumah sahaja.

"Bergelar selebriti, penjagaan kulit wajah dan fizikal sememangnya satu elemen yang perlu diberi perhatian khusus oleh saya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ikuti temu bual wartawan NURUL FADILA AWALALUDIN bersama Fify baru-baru ini.

SINARPLUS (SP): Bolehkah Fify kongsikan amalan penjagaan kesihatan yang sering diamalkan?

FIFY AZMI: Perkara yang saya selalu fokus adalah amalan diet pemakanan seimbang. Selain itu, saya turut menikmati suplemen tambahan seperti vitamin untuk mengekalkan stamina dan sentiasa bertenaga.

Hal lain yang perlu diberi perhatian adalah minum air putih sekurang-kurangnya dua liter satu hari. Minum air putih ini sejujurnya satu kemestian pada setiap hari.

Walaupun saya minum minuman lain, tetapi saya tetap akan minum air putih. Air putih fungsinya amat besar kerana dapat membanti membersihkan segala toksik dalam badan secara semula jadi.

Iklan

Bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah ia juga bagus untuk penjagaan kulit.

FIFY Azmi sentiasa menjaga kesihatan diri dengan penjagaan makanan seimbang dan senaman.

SP: Apakah yang Fify lakukan untuk memastikan kesihatan kulit wajah sentiasa dalam keadaan baik?

FIFY AZMI: Setiap hari saya akan membersihkan wajah sebaik sahaja bangun daripada tidur. Selepas mencuci muka, saya akan menggunakan pelembap kulit dan krim pelindung sinaran matahari.

Walaupun duduk di rumah, saya kadangkala akan memakainya kerana sesekali saya akan berada di beranda rumah yang turut terdedah kepada cahaya matahari.

Selain itu, membersihkan wajah pada setiap hari juga penting terutama buat wanita yang gemar mengenakan solekan.

Oleh itu, sebelum tidur juga saya akan mencuci muka sekali lagi bagi memastikan kulit kekal bersih dan bebas kotoran.

Iklan

SP: Adakah Fify mengamalkan diet pemakanan yang ketat bagi memastikan berat badan setiasa dalam keadaan ideal?

FIFY AZMI: Amalan pemakanan tertentu atau ketat itu tiada. Bagaimanapun, saya tidak sukakan pengambilan makanan yang mengandungi minyak berlebihan. Malah, penggunaan minyak berlebihan dalam masakan juga saya tidak amalkan.

SP: Melihat kepada perkongsian di Instagram, anda dilihat sangat gemar melakukan aktiviti sukan lasak. Mengapakah anda berminat dengan perkara itu?

FIFY AZMI: Sukar untuk saya mencari sebab yang spesifik untuk pertanyaan itu kerana saya sendiri juga tidak tahu (ketawa). Apa-apa pun saya seorang yang gemarkan cabaran dan gemar melakukan sesuatu yang baharu. Mungkin juga aktiviti lasak ini kena dengan jiwa dan minat saya yang cenderung ke arah sebegitu.

SP: Apakah yang menjadi motivasi untuk anda sentiasa menjaga bentuk fizikal badan dan gemar melakukan aktiviti sukan?

FIFY AZMI: Sejujurnya perkara yang memotivasikan saya adalah kerjaya yang saya ceburi kini. Ya, benar. Disebabkan status saya sebagai pelakon telah membuatkan saya perlu menjaga bentuk fizikal badan agar dapat kekal relevan dalam industri.

Disebabkan itu, sebaiknya saya akan cuba untuk meluangkan masa melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit dalam sehari.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, saya banyak melakukan senaman kardio di rumah memandangkan aktiviti riadah di luar rumah dihadkan. Bagaimanapun, sekarang saya bersyukur apabila beberapa aktiviti sudah mula dibenarkan beroperasi seperti biasa.

SP: Habis bercerita soal penjagaan kesihatan, bagaimana pula dengan gaya fesyen dan personaliti pilihan yang dijadikan ikon atau idola dalam berbusana?

FIFY AZMI: Pada saya, apa yang mudah, santai dan selesa akan sentiasa menjadi pilihan. Kecenderungan terhadap fesyen tertentu itu tiada, tetapi saya mementingkan pemilihan gaya yang bersesuaian acara.

Janggal sekiranya kita sahaja terlihat asing daripada yang lain, tetapi sekiranya fesyen itu sesuai, tidak salah sesekali melakukan eksperimentasi.

Bercakap soal idola fesyen, saya sangat mengagumi model Kendall Jenner. Pemilihan gaya dan penampilannya sentiasa kelihatan menawan walaupun berpakaian sederhana dan solekan yang minimal

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram