SIFAT cerewet dan kesukaran untuk mendapatkan kasut yang bersesuaian dengan kehendak telah mendorong Nurfarah Izzati Che Lamin memiliki jenama sepatunya sendiri bernama Lania.

Ditambah dengan kemahiran melukis sejak di bangku sekolah, impian beliau itu akhirnya terlaksana sekitar penghujung tahun 2016.

Berawal dengan memasarkan kasut siap atau ready-made, personaliti bercita-cita tinggi itu kemudian nekad mengubah haluan pemasaran syarikat.

Nurfarah Izzati antara lain memilih untuk menghasilkan sepatu rekaan eksklusif Lania bagi mengatasi masalah persaingan pasaran kasut siap.

Nurfarah Izzati Che Lamin menghasilkan lebih 100 rekaan baharu setiap tahun.

Mengetengahkan konsep kasual, ujarnya, Lania menawarkan variasi kasut dengan tapak mendatar dan tumit rendah atau low heel yang sesuai untuk digayakan oleh wanita pelbagai peringkat usia.

Dua rekaan popular Lania iaitu Betty dan Betsy sering menjadi tumpuan. Kedua-duanya merupakan kasut tertutup, namun perbezaannya koleksi Betty jenis sarung, manakala Betsy (bertali).

Menurut wanita berkarisma itu lagi, Betty sering menjadi pilihan kaum ibu yang inginkan sesuatu yang mudah dan menjimatkan masa. Sementara, Betsy pula mendapat tempat dalam kalangan wanita muda.

Pelbagai warna terang dan pastel seperti coklat mahogany (jingga gelap), merah jambu, biru dan coklat lembut yang boleh dipadankan dengan pelbagai gaya penampilan santai atau formal boleh didapati.

“Hampir setahun rasanya kami berusaha mencari kilang yang boleh menghasilkan kasut rekaan saya sendiri dan akhirnya pencarian itu berakhir di China,“ terangnya.

Mengulas lanjut, Nurfarah Izzati berkata, lazimnya, Lania akan mengeluarkan lima hingga 10 rekaan baharu setiap bulan. Ini bermakna, dalam setahun, hampir 120 gaya sepatu berjaya dihasilkan.

Ya, jumlah tersebut pastinya satu angka besar, namun ia bukan satu isu bagi usahawan muda itu.

“Sebenarnya, beberapa desain dan rekaan telah lama dibuat sebelum ini. Setelah siap, daripada rekaan itu kami membuat penambahbaikan dan sedikit perubahan dengan cara memberi nafas baharu,“ katanya.

Lebih lima tahun dalam industri, Nurfarah Izzati mengakui kehadiran rekaan tiruan menjadi antara cabaran utama jenama beliau.

“Sedikit sebanyak ia mengganggu, tetapi pengguna tahu bagaimana untuk membezakannya. Berbeza dengan yang lain, Lania menggunakan polyurethane leather berkualiti tinggi yang lebih lembut dan tidak akan mengakibatkan kulit kaki melecet.

“Bahagian tapak pula menggunakan getah yang tahan lasak dan tahan lama. Tapak tidak mudah haus sehingga mengakibatkan tergelincir,“ katanya.

Desain khusus

Tidak hanya memiliki ciri-ciri komersial, Lania juga menawarkan rekaan kasut sesuai buat mereka yang mempunyai bentuk kaki kembang di bahagian hadapan.

Permintaan khas itu bagaimanapun tidak menjejaskan harga atau sebarang caj tambahan dikenakan seperti yang dilakukan beberapa jenama lain.

Iklan

Terangnya, kelebihan itu membuatkan jenama miliknya menjadi pilihan lebih-lebih lagi individu dengan bentuk ‘istimewa’ bersama tawaran saiz daripada 36 hingga 44.

Variasi pilihan kasut Lania.

“Setelah mendapat beberapa permintaan daripada pelanggan, kami melihat ia sebagai peluang untuk meluaskan penawaran.

“Ciri istimewa ini sudah pasti dapat memuaskan hati mereka terutama yang inginkan kasut berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan,“ ujar beliau sambil memberitahu, sepasang kasut dijual pada lingkungan harga RM75 hingga RM89 sepasang.

Kasut Lania tidak hanya boleh didapati di butik fizikal yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor, tetapi turut dijual secara dalam talian di Shopee.

Selain itu, pembelian boleh dibuat terus menerusi laniaofficial.com dan melalui media sosial.

Iklan

Biarpun begitu, Nurfarah Izzati mempunyai hasrat untuk meluaskan empayar bisnesnya dengan menyasarkan agar dapat menembusi pasaran di negara Asia Tenggara.

“Menerusi jualan dalam talian, kami memang ada menerima pelanggan antarabangsa, tetapi diharap jenama Lania mendapat platform untuk dipasarkan terus ke negara seperti Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura,“ tuturnya.

Selain kasut, label berkenaan juga memiliki beberapa pilihan beg tangan yang sepadan dengan rona kasut.

Beg jenis tote dan bucket serta dompet termasuk flip-flop dengan pelbagai nuansa warna boleh dimiliki.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI