ADA di antara kita yang masih tertanya-tanya, adakah arang atau charcoal atau activated charcoal berkesan memutihkan gigi?

Adakah elemen arang yang sering digembar-gemburkan itu hanya satu tujuan pemasaran?

Adakah produk itu yang menggunakan arang benar-benar berkesan atau hanya sekadar taktik memancing pengguna untuk membeli produk semata-mata?

Merungkai persoalan itu, portal kesihatan terkemuka dunia, healthline.com memberi pencerahan.

Kata laman web berkenaan, secara asasnya, arang merupakan bahan yang terhasil daripada aktiviti pembakaran tumbuhan atau binatang.

Berdasarkan fakta National Institutes of Health pula, arang diaktifkan sama dengan arang yang biasa dari pelbagai segi atau sumber.

Antaranya daripada kayu, gambut, tempurung kelapa, petroleum atau batu arang.

Perbezaan yang paling besar antara kedua-duanya adalah semasa penghasilannya iaitu arang diaktifkan dan didedahkan kepada gas khas yang ‘membuka’ liang-liang atau ruang yang besar di dalamnya.

Liang-liang yang besar itulah menjadikan arang bersifat lebih menyerap dan membolehkannya (menyerap) jenis bahan.

Dalam kes kecemasan seperti keracunan makanan, arang aktif sering kali digunakan kerana ia dapat membantu proses pembuangan toksik dalam badan.

Selain itu, ia juga digunakan dalam proses penapisan air kerana mampu memerangkap bahan cemar.

Namun demikian, keberkesanannya akan berkurang dan perlu ditukar ganti setelah sekian lama digunakan.

Justeru, bagaimana pula dengan aspek pemutihan gigi?

Mengikut healthline.com, penggunaan arang mungkin mampu membantu proses pemutihan gigi, tetapi keberkesanannya berbeza mengikut keadaan asal gigi seseorang.

Iklan

Namun demikian, arang juga dikatakan bersifat kasar pada enamel gigi yang membawa maksud, jika sering digunakan, ia dapat menipiskan enamel gigi anda!

Selain itu, penggunaan arang yang berterusan juga dikatakan boleh membuatkan gigi tampak kekuningan kerana dentin telah terdedah dan gigi akan jadi lebih sensitif.

Baca juga Jangan terus gosok gigi selepas makan, ini sebabnya

Sehingga kini, keberkesanan pemutih gigi menggunakan arang masih belum terbukti sepenuhnya.

Kajian yang diterbitkan oleh Journal of the American Dental Association menerangkan bahawa lebih banyak kajian perlu dijalankan ke atas topik berkenaan.

Iklan

Antara perkara yang perlu diberi perhatian yang mana ada sesetengah ubat gigi yang mengandungi arang tidak mengandungi florida yang penting untuk menguatkan gigi.

Ingat, jika arang tidak dibersihkan dengan betul, ia boleh berkumpul dicelah-celah gigi atau tampalan dan merumitkan lagi kondisi gigi.

Jadi, cara yang terbaik bagi memutihkan gigi adalah berjumpa dan berbincang dengan doktor gigi yang bertauliah.

Doktor lebih arif mengenainya. Pastinya, terdapat pelbagai cara yang sesuai mengikut kondisi gigi dan dijamin selamat digunakan. #kitajagakita