BERSAMA NORYN AZIZ,
PENYANYI

SOALAN
PADA November baru-baru ini, Noryn telah mencapai usia 44 tahun. Seperti yang kita sedia maklum memasuki alam 40-an antara perkara paling digeruni bagi sesetengah wanita. Namun begitu, Noryn pula sebaliknya.

Saya melihat anda bukan sahaja tidak merahsiakan usia sebenar, malah masih ligat beraksi di atas pentas dan aktif melakukan pelbagai senaman kecerdasan.

Justeru, boleh Noryn kongsikan rutin pilihan untuk kekal cergas dan bertenaga tatkala meniti usia 40 tahun?
-LIZA, Butterworth, Pulau Pinang

JAWAPAN
Ironinya, kita tidak perlu malu dengan peningkatan usia kerana ia adalah proses kematangan kehidupan seseorang. Lagipun mahu ataupun tidak, kita perlu sentiasa bersedia menghadapi fasa tersebut dalam keadaan tenang dan positif.

Pun begitu, berbicara mengenai soal ini, saya mengakui kehidupan pada umur 40-an lebih gembira, produktif dan ‘sempurna’ meliputi pelbagai aspek.

Apabila mencapai umur sebegini, banyak perkara yang saya pelajari tentang diri sendiri. Pendek kata, kini bertatih menyayangi diri, menjaga minda, tubuh dan jiwa.

Tiga elemen ini sangat penting kerana bertitik tolak daripada itu, saya juga belajar keperluan untuk mengutamakan diri sendiri sebelum mendahulukan orang lain.

Pada zaman muda misalnya, dari segi kesihatan mental, saya sentiasa berusaha melebihkan dan menyenangkan hati insan sekeliling kerana mahukan mereka menyayangi diri ini.

noryn aziz
NORYN menyifatkan memasuki usia 40 tahun beliau mula bertatih menyayangi diri, menjaga minda, tubuh dan jiwa. Setiap elemen perlu seimbang.

Namun begitu, apabila berada pada peringkat umur hari ini, situasi berbeza kerana saya menyedari dalam kehidupan, kita wajar memupuk keseimbangan dari pelbagai segi.

Selain emosi dan mental, sebelum mencapai usia 40 tahun, saya juga sering bersikap sambil lewa terhadap rejim kecantikan kulit wajah, senaman dan pengambilan makanan tambahan (suplemen) seperti multivitamin dan vitamin C. Akibatnya, tubuh badan mudah letih dan kondisi kulit wajah pula kurang sihat.

Jika situasi itu tidak diatasi segera, bimbang ia memudaratkan kesihatan saya kelak. Justeru, menginjak usia 40 tahun, saya mengambil inisiatif mengubah corak kehidupan ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Selain mengeluarkan peluh dengan senaman ringan pada setiap hari, saya juga aktif menari, berzumba, yoga dan melakukan aktiviti kardio sama ada secara solo atau bersama kawan-kawan.

Apabila tubuh badan sentiasa bergerak secara konsisten, maka secara tidak langsung dapat membantu mengatasi masalah lesu, cepat penat dan hilang fokus ketika saya melakukan aktiviti memerlukan tenaga yang banyak.

noryn aziz

Sementara itu, saya juga menitikberatkan aspek pemakanan, tetapi tidak mengamalkan diet ketat yang boleh memberikan tekanan pada emosi dan fizikal.

Paling utama, biarlah pilihan makanan itu seimbang dan dinikmati secara sederhana. Bagaimanapun, dari dulu hingga kini hari saya tidak lengkap tanpa secawan kopi. Tidak mengapa, kerana kopi membuatkan saya gembira.

Dalam pada itu, kepada para wanita yang memasuki usia 40 tahun saranan saya berjumpa doktor untuk melakukan ujian hormon.

Langkah ini penting memandangkan pada umur seumpama ini paras kolagen semakin menurun dan konsultasi bersama doktor membantu kita berdepan pramonapaus dengan minda positif.

noryn aziz
NORYN kini bahagia bersama suami baharunya, Shaik Rizal Shaik Sulaiman 13 Oktober lalu.

Saya juga menitikberatkan aspek pemakanan, tetapi tidak mengamalkan diet ketat yang boleh memberikan tekanan pada emosi dan fizikal.”

Kepentingan vitamin C
– Ia penting untuk pelbagai fungsi fisiologi seperti pembentukan kolagen.
– Selain itu, ia adalah sejenis protein memberi struktur pada tulang, rawan, otot dan saluran darah.
– Vitamin C juga dikenali sebagai antioksida semula jadi yang membantu melindungi sel daripada kerosakan disebabkan radikal bebas.
– Individu kekurangan vitamin C, tidak boleh menggantikan kolagen di dalam badan.
– Kesannya, pelbagai jenis tisu dalam badan rosak dan membawa kepada penyakit skurvi (gusi yang bengkak berdarah dan kemerahan, penyembuhan luka lambat serta kehilangan gigi).
– Buah dan sayur-sayuran adalah sumber vitamin C terbaik. Antaranya seperti jambu batu, betik, oren, kiwi, strawberi, brokoli dan tomato.
Sumber: myhealth.gov.my

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

Foto: Instagram @norynaziz, @by_norynaziz