NAMPAKNYA, kita sudah memasuki minggu kedua tahun baharu. Apa yang pasti senarai azam untuk dilaksanakan pada tahun ini, jangan disimpan begitu sahaja ya.

Mengenai susunan perancangan tahun ini mungkin ada yang memasang impian untuk menambah ilmu masakan, mendirikan rumah tangga atau mempertingkatkan mutu penampilan baik dari segi menurunkan berat badan mahupun pemakaian.

Justeru, berbicara mengenai penampilan perunding imej, Syaheerah Hanis ingin mengajak golongan wanita membaiki pemilihan pakaian khususnya melibatkan busana tradisional yang lazimnya dipakai pada acara formal.

FESYEN SYEERA
SYEERA (gambar kecil) menjelaskan, blazer atau jaket perlu disuai padan dengan item fesyen ideal bukannya bersama busana tradisional.

“Permulaan tahun 2021, jom kita membaiki penampilan diri agar kelihatan lebih kemas dan profesional.

“Berbekalkan ilmu penampilan yang dipelajari dari semasa ke semasa, mudah sahaja upgrade tentang pemilihan pakaian.

“Tidak semestinya perlu berbelanja mahal. Kalau pandai bergaya, orang pun tidak menyangka kita menyarungkan baju bundle,” katanya menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

baju
PADANAN blazer bersama baju kurung tidak bersesuaian dan disifatkan melanggar etika pemakaian formal baju kebangsaan.

Oleh itu, mengulas lanjut tentang pakaian Syaheerah berkongsi ilmu mengenai pemilihan menggabungkan blazer dan pakaian tradisional.

“Jika diperhatikan, padanan baju kurung dan blazer sering kali disatukan dalam acara formal. Walhal, pada hakikatnya kombinasi sedemikian tidak menepati etika pemakaian formal baju kebangsaan.

“Cuba bayangkan sekiranya pakaian tradisi seperti cheongsam atau sari digayakan bersama jaket ataupun blazer? Tidak manis bukan.

Iklan
sari
BAIK baju kurung, cheongsam mahupun sari rakyat Malaysia harus menjaga tertib baju kebangsaan.

“Hilanglah seri tradisi pakaian yang kita (rakyat Malaysia) banggakan selama ini. Oleh itu, baju kurung juga tidak terkecuali,” terang beliau.

Pun begitu, Syaheerah menjelaskan, jika pada sesebuah majlis atau acara memerlukan pemakaian jaket dan blazer, maka sebaik-baiknya pilihlah jaket potongan labuh.

“Namun begitu, andai boleh dielakkan lebih baik bagus mencari padanan blazer atau jaket dengan item yang sesuai. Laksanakan tanggungjawab kita menjaga tertib busana tradisional,” tegasnya lanjut.

Iklan
bunga
PENYANYI Bunga, sentiasa tampak manis dan bijak menggayakan busana tradisional baju kurung bersama pemilihan hijab ideal.

Cuba perhatikan bagaimana sopan dan manisnya, Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan artis baharu, Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini mengekalkan penampilan mereka dalam persalinan baju kurung.

Semoga bermanfaat.

Sumber: @bungaisme dan @syeera hanis