BERSAMA PENYANYI,
WANY HASRITA

SOALAN

BERGELAR penyanyi pasti membuatkan kulit wajah Wany sentiasa dioles solekan mampan baik untuk pertunjukan pentas mahupun melunaskan sesi fotografi.

Situasi tersebut secara tidak langsung menyebabkan kulit muka Wany terdedah kepada simbahan lampu acara (spotlight). Pada masa sama, turut menerima tempias sinaran ultraungu khususnya ketika berlumba kereta di litar di bawah program Toyota Gazoo Racing.

Justeru, bolehkah Wany kongsikan tip bagaimana untuk memastikan kulit wajah kekal bersih dan mulus? Selain rejim penjagaan muka, dari segi fesyen pula, apakah koleksi pelengkap gaya kegemaran?

– PEMINAT WANY HASRITA, 24, PUTRAJAYA

JAWAPAN

Rejim penjagaan wajah lazimnya, sebaik sahaja tiba di rumah sebelum tidur saya akan memastikan kulit wajah bebas daripada sebarang kotoran dan tampalan solekan.

Langkah tersebut harus dititikberatkan bagi mengelakkan kondisi kulit wajah rosak memandangkan alat kosmetik mengandungi pelbagai bahan.

Selepas menanggalkan solekan menggunakan makeup remover, saya akan membersihkan wajah dengan pencuci muka mengikut jenis kulit. Kemudian, disusuli pula toner (penyegar) untuk membuang lebihan minyak ataupun kotoran yang tertinggal pada kulit wajah termasuk mengecilkan pori-pori.

Langkah seterusnya, menyapu lembut serum dan krim pelembap bagi mengembalikan kelembapan kulit wajah serta krim malam.

Pun begitu, pada sebelah siang, selepas memakai krim pelembap, saya akan mengoles krim pelindung sinaran matahari sebelum keluar rumah sama ada untuk bekerja ataupun beriadah.

krim cantik
PASTIKAN sebelum keluar rumah wanita mengoles krim pelembap dan krim pelindung sinaran matahari untuk melindungi kondisi kulit wajah.

Seperti yang kita sedia maklum, penggunaan krim pelindung sinaran UV amat penting dalam rutin penjagaan kulit wajah. Disebabkan itu, kita sentiasa disarankan mengaplikasi krim tersebut seawal usia remaja.

Saya pula beranggapan telah terlambat kerana apabila menginjak usia 27 tahun, barulah mempunyai kesedaran untuk memakai krim sinaran UV. Ikut kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Jangan sesekali membiarkan wajah berterusan terdedah kepada cahaya matahari tanpa pelindung kerana ia akan merosakkan kulit muka. Selain penuaan dan kanser kulit, sinaran UV yang menembusi jauh ke dalam kulit juga boleh menyebabkan berlakunya masalah jeragat.

Perkara sedemikian turut berlaku kepada ibu, Norita Jaafar yang terpaksa mengambil masa lama untuk menangani masalah jeragat.

Dalam pada itu, perlu diingatkan, pemakaian krim sinaran UV bukan bersifat sekali sahaja iaitu oles pada sebelah siang dan berkekalan hingga malam. Krim tersebut harus diaplikasi dari masa ke masa.

Misalnya, saya akan oles sekitar jam 8 pagi. Selepas menunaikan solat Zuhur dan Asar, maka saya akan ulang rutin penjagaan wajah yang sama seperti memakai toner, serum, krim pelembap dan krim sinaran UV.

Iklan

Selain amalan penjagaan wajah secara konsisten dan penggunaan produk yang betul, pemakanan juga harus dititikberatkan.

Elak menikmati makanan berminyak dan coklat dalam kuantiti yang banyak kerana ia adalah salah satu penyebab masalah jerawat.

coklat
MENIKMATI coklat secara berlebihan boleh menyebabkan jerawat.

Sementara itu, amalkan minum air putih antara dua hingga tiga liter sehari untuk kesihatan badan dan kecantikan kulit wajah.

Atas faktor tersebut, ke mana sahaja destinasi ini saya tuju, wajib membawa satu botol bersaiz besar berisi air putih.

Menjawab persoalan mengenai pelengkap gaya kegemaran, bukan tas tangan atau sepatu, sebaliknya saya gemar mengumpul hijab khususnya tudung bawal.

Fabriknya selesa dipakai, mudah dibentuk dan ideal untuk digayakan dalam apa jua acara.

Iklan

Artikel berkaitan: “Tolak gelaran doktor demi ibu” – Wany Hasrita

Manfaat minum air putih

air
– Meningkatkan tenaga kerja dan kreativiti.
– Melambatkan proses penuaan.
– Meningkatkan daya tahan tubuh.
– Menguatkan fungsi jantung.
– Menguatkan tulang.
– Membakar lemak tubuh.
Sumber: hellodoktor.com


Foto INSTAGRAM @WANYHASRITA