KATA Tuan Mohd Kharul Azhar Tuan Muhamad, label Tuan yang diilhamkan sejak tujuh tahun lalu pada asalnya mahu menampilkan kelainan.

Bukan bermaksud untuk melawan arus, anak muda yang mesra disapa Kery itu berkata, dirinya mendambakan keselesaan ketika mengayakan kemeja bercorak batik.

Kemudian, beliau melangkah setapak lagi dengan menghasilkan corak batik menggunakan fabrik kapas polos untuk kegunaan sendiri bagi memastikan penampilannya lebih menyerlah.

“Selepas berfikir sedalam-dalamnya, saya ambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang fesyen dengan modal sebanyak RM1,200 sahaja.

“Bayangkan dengan wang tidak berapa banyak itu, saya gunakannya sebagai modal berniaga. Boleh dikatakan pada setiap hari ketika itu saya hanya makan mi segera. Saya memang tak kisah langsung, asalkan impian saya dapat direalisasikan,“ ujarnya yang pernah berkhidmat di salah sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur.

Hasil kerja keras Kery nampaknya berbaloi. Kata lelaki itu, daripada dua helai baju bermotifkan batik hasil sentuhannya, kini beliau dapat mengeluarkan lebih kurang 2,000 pasang pakaian bagi setiap rekaan khas untuk jejaka di luar sana.

Abstrak

Menyambung cerita, pereka fesyen yang sedang mencipta nama itu mengakui, sebelum ini beliau banyak bergantung kepada penghasilan material dan corak dari negara seberang.

Justeru, pada kali ini, pemuda berusia 30 tahun itu nekad untuk tampil berbeza dengan menghasilkan sendiri corak batik eksklusif di bawah jenama Tuan.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun menyimpan hasrat itu gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, akhirnya saya bersyukur dapat mengeluarkan koleksi terbaharu pada Hari Raya Aidiladha lalu,“ katanya.
Ujar Kery, label Tuan sangat mementingkan keselesaan dan sesuatu yang bersifat minimalis.

Jika dulu motif batik terarah kepada konsep bunga-bungaan seperti bunga mawar dan bunga raya termasuk jenis kerawang, beliau cuba membuat perbezaan dengan memilih corak kontemporari seperti abstrak yang tidak terlalu sarat.

“Selain garisan jalur, Tuan turut tampilkan (corak) berbentuk kotak dan bulat dengan padanan rona seperti hitam, coklat, kuning biji sawi, hijau buah zaitun dan warna-warna gelap.

“Saya berpandangan, kaum Adam generasi kini sukakan sesuatu yang ringkas, tetapi tampak elegan dan apa yang saya lakukan sememangnya mengikut cita rasa semasa.

“Asimilasi fabrik polos dan batik ditambah dengan nuansa warna yang menarik sememangnya sesuai buat mereka yang mementingkan gaya tidak kira saat meraikan sebarang perayaan, mahupun menghadiri sebarang acara,“ katanya.

Mengenai jenis material yang dipilih pula, Kerry memilih fabrik kapas yang sememangnya bertepatan dengan cuaca di Malaysia.

Iklan

Kepada SinarPlus, beliau berkata, koleksi terbaharunya itu adalah rekaan eksklusif dan asli yang dimiliki oleh jenama Tuan sahaja.

“Kami satu pasukan bertungkus-lumus memerah idea ini dan berbangga bahawa label adalah 100 peratus ‘air tangan‘ anak tempatan dari Pantai Timur,“ katanya.

Usahawan yang bakal mengorak langkah lebih jauh itu menambah, buat masa ini, Tuan hanya memfokuskan busana untuk lelaki dewasa sahaja.

“Insya-ALLAH jika ada rezeki kami akan cuba untuk hasilkan kemeja buat kanak-kanak pula,“ kongsinya dan turut berharap masyarakat tempatan khususnya golongan belia yang mencintai batik tempatan dapat memberi sokongan kepada produk lokal.

Sebelum menoktahkan bicara, Kery dengan penuh semangat memberitahu, beliau berhasrat untuk memperluaskan jenama Tuan di pasaran Asia Tenggara.

Iklan

Setakat ini, Tuan telah berjaya meletakkan koleksinya di Singapura dan Brunei.

“Saya berharap dapat menembusi negara-negara lain juga sekali gus dapat mengangkat martabat batik tempatan di persada antarabangsa,“ katanya.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram