“JIKA daripada lima orang pesakit obes yang datang, tiga daripada mereka akan mempunyai masalah tidur malam.”

Itulah fakta yang dikongsikan oleh seorang ahli dietetik, Mohd Khairul Azuan di laman Facebooknya baru-baru ini.

Kata Mohd Khairul Azuan, pada waktu malam, biasanya masa akan dihabiskan dengan menonton televisyen dan bermain game. Maka, terjadilah insomnia yang mana mata tidak boleh pejam.

“Selain itu, terdapat juga sesetengah daripada mereka bekerja dari waktu tengah malam sehingga pagi. Sebagai contoh, mereka yang bekerja mengikut masa sistem di luar negara,” ungkapnya.

Namun, tegas beliau, sebelum seseorang itu mengubah apa-apa, cuba jaga masa tidur terlebih dahulu.

“Tidur merupakan salah satu keperluan yang badan kita perlukan bagi mengekalkan kewarasan pemikiran.

“Tidur yang cukup dan berkualiti sekitar enam hingga lapam jam sehari adalah sangat penting jika kita mahu menurunkan berat badan ataupun membina otot,” tambah beliau.

Tidur yang cukup juga akan memberikan daya fikir yang lebih rasional dan seseorang akan lebih bijak dalam membuat keputusan, sama ada mahu makan secara sihat atau tidak.

Berikut beberapa impak sekiranya tidak mengamalkan waktu tidur yang mencukupi menurut Mohd Khairul Azuan:

i) Meningkatkan pengambilan makanan yang kurang sihat.

ii) Pengambilan makanan dalam jumlah berlebihan.

iii) Mengurangkan motivasi untuk melakukan senaman harian.

iv) Mengurangkan penggunaan tenaga melalui aktiviti fizikal (senaman dan aktiviti fizikal adalah benda yang berbeza).

“Jadi, jika mahu menurunkan berat badan kita perlu mulakan dengan tidur malam yang cukup.

“Hasilnya, bangun tidur lebih segar dan pemikiran yang lebih rasional,” katanya.

Iklan

Selamat menyambut Hari Tidur Sedunia! Jom tidur!

Selain itu, situasi lebih bahaya boleh berlaku jika tidur lewat malam adalah ‘kelaparan luar jangka’.

“Ini kerana terdapat satu hormon yang dipanggil ghrelin (rasa lapar) akan meningkat apabila kita kurang tidur.

“Bukan itu sahaja, apabila bangun daripada tidur yang tidak cukup, satu lagi hormon iaitu leptin (hormon kenyang) akan menurun. Jadi orang yang tidak cukup tidur akan lambat merasa kenyang selepas makan,” terangnya.

Oleh itu, bagi mendapat tidur yang cukup, berikut beberapa perkara yang boleh dilakukan:

Iklan
  • Membuat jadual harian untuk kerja dan masa tidur.
  • Tutup televisyen atau tidak melihat telefon 15 hingga 30 minit sebelum tidur.
  • Minum susu suam sebelum tidur.
  • Bersenam secara kerap.
  • Urus stres dengan baik.

bersenam

Jadi, buat orang ramai yang berhajat ingin menurunkan berat badan dengan lancar, cukupkan masa tidur anda terlebih dahulu.

Itu lebih penting sebenarnya!

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca SinarPlus.