BERBICARA mengenai topik warna fesyen, sukar untuk menidakkan bahawa rata-rata wanita Malaysia bimbang untuk menggayakan busana berasaskan rona kuning.

Walhal, berpandukan rekod Stylecaster.com sebelum ini, portal tersebut menyenaraikan warna kuning terutamanya kuning marigold (bunga tahi ayam) menduduki carta Top 20 elemen fesyen popular tahun 2020.

Mengapa berlakunya situasi sedemikian? Bukankah fesyen itu universal yang mana individu bebas memilih dan perlu berani bereksperimentasi mengikut kesesuaian.

Justeru, bagi menjawab persoalan tersebut, segmen Indeks Fesyen minggu ini mendapatkan ulasan daripada Pereka Fesyen dan Pengasas Rico Rinaldi, Rico Rinaldi Tono (Rico).

Menurut Rico, melihat trend pasaran fesyen majoriti wanita tempatan, mereka lebih cenderung memilih pakaian kategori warna ‘selamat‘ seperti hitam, putih, kelabu, biru dan merah jambu.

“Ini disebabkan rona sedemikian (warna selamat) disifatkan bersesuaian dengan warna kulit orang Malaysia termasuk memudahkan mereka untuk mempraktikkan konsep suai dan padan.

“Pun begitu, tidak dinafikan segelintir wanita meminati warna kuning.

“Namun, lazimnya mereka akan memilih kuning pastel berbanding ton terang bagi mengelakkan penampilan kelihatan terlalu menonjol,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini mengenai warna kuning yang diambil daripada perkataan Inggeris lama iaitu geolu dan geolwe sebelum dikenali nama yellow.

FESYEN RICO RINALDI
RICO RINALDI menyifatkan kuning juga bakal menjadi warna popular 2021 dalam industri fesyen negara.

Selain itu, Rico yang berasal dari Kajang, Selangor memberitahu, para hijabista juga antara kelompok yang ragu-ragu bergaya dengan fesyen kuning kerana beranggapan warna terbabit susah bagi konsep suai dan padan.

Sebagai contoh, mereka akan runsing memikirkan warna hijab yang ideal untuk dipadankan bersama pakaian rona kuning.

Bagaimanapun, situasi seumpama itu tidak akan berlaku sekiranya wanita berhijab menyarungkan persalinan warna gelap seperti hitam, kelabu ataupun coklat memandang rona terbabit sesuai dengan variasi warna.

Tutur pereka berusia 33 tahun itu, biarpun nuansa kuning merupakan salah satu elemen gaya popular di peringkat global tahun ini, tetapi penerimaan industri fesyen lokal terhadap penggunaan warna tersebut sedikit lewat.

“Dalam erti kata lain, kuning bakal menjadi warna utama dalam pasaran fesyen negara ini pada tahun 2021.

“Koleksi lebaran Rico Rinaldi tahun depan juga menawarkan busana warna kuning ton lembut hingga ton terang.

“Ironinya, dalam bab berfesyen jangan meletakkan ‘kesalahan‘ pada warna ataupun corak. Paling penting, individu perlu bijak memilih item fesyen mengikut kesesuaian kulit, personaliti dan bentuk fizikal.

Iklan

“Bagi mereka yang berkulit gelap, warna kuning terang adalah pilihan ideal kerana secara automatik ia membantu menyerlahkan penampilan. Rona kuning lembut pula sesuai untuk kaum Hawa berkulit cerah,“ ujar Rico yang turut menyatakan pakaian warna kuning boleh digayakan ketika bersantai, kuliah, pejabat ataupun menghadiri majlis minum petang.

Namun begitu, masyarakat tidak dibenarkan memakai busana berasaskan warna tersebut apabila memenuhi undangan majlis melibatkan tetamu dan protokol diraja kerana kuning merupakan nuansa rasmi raja-raja.

Bagi wanita yang tidak selesa menyarungkan baju kuning polos, mungkin boleh meniru gaya penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna.

yuna
PENYANYI Yuna menggayakan busana motif flora percikan nuansa kuning koleksi Hatta x Yuna.

Pelantun lagu, Terukir Di Bintang itu tampak kasual menggayakan sut bunga percikan warna kuning daripada koleksi Hatta x Yuna.

Iklan

Selain itu, konsep suai dan padan dipraktikkan oleh Datin Nina Sabrina Ismail Sabri juga ideal dijadikan rujukan.

Lihat kreativiti penata gaya, Yana Baharudin mengabungkan blaus bercorak bersama skirt kuning terang jenama Coach. Stail tersebut menyuntik elemen segar dan funky pada penampilan Nina Sabrina, isteri kepada pereka fesyen terkemuka, Datuk Jovian Mandagie.

nina sabri
NINA tampak stailo dalam blaus bercorak bersama skirt kuning terang jenama Coach kreativiti penata gaya, Yana Baharudin.  

 

5 tip gaya warna kuning
1. Golongan wanita perlu yakin dan berani mencuba menggayakan busana berasaskan nuansa kuning.
2. Pilih pakaian atau hijab warna kuning yang bersesuaian dengan warna kulit.
3. Pilih corak atau motif percikan kuning yang ideal bentuk badan dan personaliti.
4. Praktikkan konsep suai dan padan warna kuning bersama warna gelap sebagai contoh kombinasi hijab kuning dengan skirt rona hitam.
5. Fesyen kuning tidak terhad pada pakaian sahaja, wanita juga boleh bergaya dengan tas tangan, cermin mata, kasut ataupun aksesori palet kuning.