SIKAPNYA yang sentiasa ceria dan mudah mesra ketika disapa membuatkan tidak ramai yang menyangka wanita kelahiran Semporna, Sabah itu sudah menghampiri angka usia 40-an.

Zizi Kirana atau nama lengkapnya Nur Fazelah Mad Tahil hanya tertawa kecil saat ditanya bagaimana dirinya menjaga kulit wajah yang kelihatan sangat mulus itu?

Ujar Zizi, kecantikan membawa pengertian yang berbeza bagi setiap orang. Dari sudut pandangan penyanyi itu, ia semuanya bermula dari dalam diri, ditambah dengan diet pemakanan sihat dan merajinkan diri melakukan senaman.

Ya, benar sekitar tahun 2018, beliau pernah mengisytiharkan dirinya ‘bermusuh’ dengan nasi, namun kini segalanya sudah berubah.

Kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Eh! itu, beliau kini banyak mempraktikkan bahan semula jadi yang mudah didapati di dapur untuk tampil menawan.

Ingin tahu apakah yang digunakan oleh pelakon filem Cuti-Cuti Cinta itu, ikuti perkongsiannya bersama SinarPlus baru-baru ini.

SinarPlus (SP): Zizi Kirana sentiasa tampil jelita pada setiap acara majlis, adakah Zizi seorang yang gemar ke spa kecantikan untuk mendapatkan rawatan?

ZIZI KIRANA: Terima kasih atas pujian. Sejujurnya saya seorang yang malas untuk pergi membuat rawatan wajah melainkan apabila perlu sahaja. Boleh dikatakan dalam setahun kira-kira dua kali sahaja saya akan ke spa.

SP: Apakah rahsia dan bagaimanakah Zizi menjaga kulit wajah?

ZIZI KIRANA: Saya tidak mempunyai sebarang teknik rawatan khusus. Sebaliknya, saya hanya mencuci muka dengan pencuci wajah, memakai pelindung sinar matahari, serum dan pelembap wajah seperti yang biasa dilakukan oleh semua wanita.

Jika mempunyai masa terluang saya membuat masker pada wajah dengan menggunakan kunyit hidup yang ditumbuk halus. Saya gemar melakukan sendiri masker wajah di rumah kerana seperti yang dikatakan tadi, saya tidak gemar ke spa kecantikan.

SP: Bolehkah Zizi kongsikan tip penampilan untuk kekal anggun dan jelita?

ZIZI KIRANA: Pada saya, penjagaan penampilan itu penting dan seharusnya bermula dari dalam. Selain mengamalkan pengambilan makanan dan gaya hidup sihat, perihal jiwa serta kerohanian juga perlu dijaga. Selain itu, saya juga seorang yang amat menitik beratkan aspek kebersihan.

Sebagai tambah nilai untuk kesihatan, saya juga mengambil vitamin sebagai suplemen tambahan.

SP: Adakah Zizi mengamalkan sebarang pemakanan tradisional seperti jamu?

ZIZI KIRANA: Sejak dahulu lagi saya mengamalkan meminum jus kunyit sebagai minuman kesihatan. Kaedah ini merupakan cara tradisional dan mudah untuk melakukan sendiri di rumah untuk menjaga kesihatan.

Iklan

SP: Boleh berkongsi petua bagaimana Zizi memastikan bentuk badan kekal langsing?

ZIZI KIRANA: Langsing, lambat lagi (ketawa). Pada saya amalan pemakanan sihat dan melakukan aktiviti senaman dalam membantu mengekalkan fizikal badan kekal langsing.

Jika berkesempatan, biasanya saya akan melakukan aktiviti fizikal seperti senaman ringan sekali seminggu.

Saya juga tidak terikat dengan sebarang rejim diet yang ketat. Sebaliknya, saya akan makan seperti biasa tanpa sebarang pantang, tetapi hanya mengambil nasi sehari sekali saja.

SP: Adakah Zizi seorang yang mengawal pengambilan jumlah kalori dalam makanan?

Iklan

ZIZI KIRANA: Saya tidak gemar melakukan perkara sebegitu kerana ia kelihatan rumit dan melibatkan banyak pengiraan perlu dilakukan.

Seperti yang saya katakan tadi, saya hanya hadkan pengambilan nasi sekali dalam sehari dan tidak mengambil peduli soal jumlah kalori yang perlu diambil.

Saya menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang kompleks dan rumit untuk dilakukan kerana memerlukan pemantauan pada setiap masa.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram