DEK salah faham mengenai bapa mertuanya, penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob memberitahu dihujani ucapan takziah selepas berita pemergiaan pembaca berita, Farit Ismeth Emir semalam.

Jelas Fazley, ia berikutan ramai yang beranggapan bahawa arwah merupakan bapa kandung isterinya, Datin Azrene Ahmad.

“Pertama sekali, salam takziah buat keluarga Allahyarham Farit Ismeth Emir. Doa kami agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Perlu juga saya perbetulkan tanggapan ramai orang yang turut menyampaikan ucapan takziah buat saya dan isteri saya Azrene Ahmad, kerana menyangkakan bahawa arwah adalah ayah kandung beliau.

“Mereka bukan bersaudara. Terlalu banyak ucapan takziah yang hadir di dalam WhatsApp kami sekeluarga.

“Sebetulnya, ayah kandung Azrene masih lagi hidup dan sihat. Namanya ialah Abdul Aziz Nong Chik. Yakni, wali yang menikahkan saya dan Azrene 14 tahun yang lalu,” jelasnya menerusi akaun Instagram miliknya.

AZRENE BERSAMA BAPANYA DAN GAMBAR KIRI, FAZLEY.
Azrene turut berkongsi gambar terkini bersama bapanya dan gambar kanan, Fazley.

Tambah Fazley, beliau tidak berniat untuk mengganggu emosi pihak lain dan mahu memperbetulkan kekeliruan yang timbul.

“Saya mohon maaf buat keluarga arwah sekiranya post ini mengganggu emosi kalian semua. Niat saya hanya ini memperbetulkan kekeliruan yang berlaku.

Iklan

“Al-Fatihah buat arwah dan takziah buat keluarganya. Buat sahabat saya DJ Fuzz semoga kekal tabah menghadapi dugaan ini,” ujarnya.

Semalam, pembaca berita veteran RTM, Farit Ismeth Emir yang juga merupakan bapa kepada rapper DJ Fuzz meninggal dunia pada usia 66 tahun.

Iklan