SETELAH mendirikan rumah tangga lebih dua tahun, pasangan selebriti popular Fazura dan Fattah Amin meluahkan rasa syukur apabila bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Pengumuman tersebut dibuat pasangan ini menerusi satu kenyataan yang diedarkan kepada pihak media hari ini.

Menurut Fazura, 37, dia dan bayi dalam kandungannya kini dalam keadaan sihat walafiat.

“Saya tidak pernah merasakan perasaan seperti ini dan ini merupakan antara anugerah terindah yang diberi oleh Allah S.W.T terhadap kami berdua.

“Semenjak mendirikan rumah tangga, kami sentiasa percaya dan menyerahkan kepada Yang Maha Esa terhadap apa jua rezeki atau dugaan yang diberikan oleh-NYA.

“Alhamdulillah akhirnya, berkat doa  kami, keluarga tersayang, rakan-rakan dan juga para peminat, akhirnya ia dimakbulkan,” katanya.

Iklan

Sejak mendirikan rumah tangga bersama Fattah, pemilik nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin sering berhadapan dengan persoalan tentang kehamilan dari para media dan juga peminat.

Malah pelakon Manisnya Cinta Di Cappadocia itu juga pernah berjanji sekiranya dirinya hamil, peminat dan juga rakan-rakan merupakan antara yang pertama akan mengetahuinya, dan kini berita tersebut telah pun menjadi kenyataan.

Fazura turut meluahkan rasa syukur dengan kelancaran trimester pertama beliau.

Iklan

“Dalam kondisi yang kita semua sedang hadapi sekarang, saya kini sedang berehat di rumah.

“Alhamdulillah saya bersyukur tidak mempunyai sebarang alahan yang teruk setakat ini dan saya sangat teruja untuk menghadapi hari-hari yang mendatang,” katanya yang kini memasuki bulan keempat kehamilan.

Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 itu dijangka  menyambut kelahiran bayi sulung mereka pada akhir tahun ini.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)