IMPIANNYA besar, mahu memberi inspirasi dan melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada diri serta orang di sekelilingnya.

Itu yang pernah diikrarkan penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan apabila bergelar pengasas produk kecantikan, Urban Cosmetic.

Feeya atau nama lengkapnya Nor Shafiza Iskandar Azizan, 31, berkata, sebagai penyampai radio, dia sentiasa mahu menjadi pengantara yang mampu menyampaikan informasi dan menghiburkan pendengar yang mengikutinya.

Begitu juga dengan peranan sebagai pengasas kosmetik yang cuba memberi manfaat kepada orang ramai menerusi produk yang diperkenalkan.

Justeru, kata Feeya, dia tidak mudah mengalah apabila berdepan dengan apa pun cabaran dalam merealisasikan impiannya itu.

“Apa pun bidang yang kita ceburi, akan ada ketikanya kita berdepan dengan ujian atau dugaan.

“Kalau benar-benar mahu mengejar impian, kita harus kuat dan sentiasa ada perancangan untuk mengatasi apa sahaja halangan yang datang,” ujarnya kepada Sinar Plus.

Situasi itu dihadapi Feeya apabila perniagaan yang baru diusahakan lebih dua bulan lalu itu menerima tempias akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang kini sedang melanda negara dan dunia.

“Saya sendiri tidak menjangka perkara ini terjadi pada saat perniagaan saya baru sahaja dua bulan bermula.

“Bagaimanapun mujurlah kami juga menjalankan perniagaan menerusi kaedah atas talian di mana pembelian dan penghantaran boleh dilakukan seperti biasa tanpa sebarang masalah.

“Cuma bila keadaan ini berlaku, kita pun memahami ramai orang terjejas dan semestinya perniagaan tidak serancak waktu ia bermula. Sebagai orang baharu, saya akui agak struggle,” katanya.

Berkongsi bagaimana minatnya kepada bidang perniagaan mula tercetus, kata ibu kepada dua cahaya mata itu, dia sering terinspirasi dengan kejayaan wanita-wanita yang menceburi perniagaan.

Bagaimanapun, tegasnya, dia tidak mahu menggunakan status selebriti yang dipegangnya sebagai jalan mudah, sebaliknya berusaha dari bawah dan menimba menimba sendiri pengalaman.

“Sebelum memulakan perniagaan dan melancarkan produk sendiri, saya terlebih dahulu membuat persiapan dalam segala aspek yang perlu.

“Lebih dua tahun membuat kajian dan dalam masa yang sama mengumpul modal untuk merealisasikan perniagaan ini.

“Alhamdulillah berkat usaha dan kesabaran, semuanya dipermudahkan. Cabaran awal sudah berjaya ditempuhi dan kini kami cuba untuk berdepan dengan cabaran seterusnya,” ujarnya.

Iklan

Tidak akan tinggalkan radio

Menyentuh tentang kerjayanya sebagai penyampai radio SuriaFM yang mengendaikan Slot Gaya Suria dan Muzik Top Suria pada setiap Isnin hingga Jumaat, kata Feeya atau turut dikenali sebagai CikPiah, minat dan komitmennya terhadap tugasan itu sentiasa nombor satu.

“Minat saya dalam bidang penyiaran radio sangat mendalam sejak dari dulu sehinggalah sekarang.

“Sudah lebih 12 tahun saya bergelar penyampai radio dan saya sentiasa seronok dengan tugasan di konti. Berinteraksi bersama pendengar dan menyampaikan maklumat selain menghiburkan mereka.

“Selagi orang sudi nak dengar saya berceloteh, insya-ALLAH saya tidak akan meninggalkan konti kerana mahu menyumbang kepada masyarakat dengan cara ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, sepanjang tiga minggu PKP dilaksanakan, Feeya masih lagi bertugas seperti biasa dan memainkan peranannya sebagai pengantara kepada masyarakat.

Iklan

“Saya masih lagi ke udara macam biasa pada jam 10 pagi hingga 3 petang, sama ada   di konti Suria FM atau pun daripada rumah.

“Alhamdulillah dalam tempoh PKP ini juga, saya dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti di rumah.

“Saya harap mereka di luar sana sentaisa mematuhi PKP dan saling bekerjasama untuk memutuskan rantaian ini secepat mungkin untuk kebaikan bersama,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Feeya Iskandar)