PENYANYI Faizal Tahir menerusi kolaboratif bersama TV3 menzahirkan keprihatinan dengan melakukan kerja amal lagi meringankan beban pihak yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Faizal Tahir dan pasukannya, Faithmen atau lebih dikenali dengan gelaran #iamFaithmen yang telah menerima pengiktirafan dengan Anugerah Sukarela Terbaik oleh Jabatan Perdana Menteri untuk menjalankan aktiviti membantu secara atas talian.

Selain bantuan secara fizikal yang berbentuk barangan keperluan, TV3 dan #iamFaithmen juga memberi sokongan moral dan menyuntik semangat positif menerusi panggilan video oleh Faizal Tahir untuk melihat, mendengar dan menyelami perasaan serta emosi mereka.

Menurut Faizal, biarpun dalam tempoh PKP, ia tidak menghalang pasukannya memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan PKP, ia bukan penghalang bagi kami untuk terus memberikan bantuan.

“Kami bersyukur kerana masih ada orang yang dapat membantu kita dari segi penghantaran barang-barang. Usaha ini juga dapat dilakukan dengan teknologi yang ada, tanpa teknologi, mungkin kita akan rasa susah.

“Semua orang boleh bagi bantuan, tapi siapa yang dapat memahami kesunyian. Dari segi emosi, tidak semua orang boleh bantu kerana bukan semua orang boleh berhadapan dengan tekanan PKP yang dialami oleh individu tersebut,” ujar Faizal.

Tambah penyanyi yang baru tampil dengan single Sumandak itu lagi, bantuan boleh disampaikan dalam pelbagai cara dan tidak semestinya dengan kehadiran fizikal.

“Mungkin juga ada orang yang berpendapat, kita perlu hadir secara fizikal untuk memberi bantuan. Bagi saya, ia tidak perlu.

“Saya pilih untuk sentiasa berfikiran positif dan mencari jalan penyelesaian dalam membantu mereka yang memerlukan.  Jadi, kami meneruskan inisiatif ini secara atas talian di tempoh PKP.

“Kami telah menghulurkan bantuan segera kepada keluarga-keluarga daif dan golongan kurang berupaya di tempoh PKP bermula hari ke-45.

Iklan

“ Selain memberi barangan dapur kepada orang tua yang menghuni di Mesra Home, tindakan membeli serunding dan kuih tart yang dihasilkan oleh para penghuni menjadi lebih bermakna apabila usaha mereka untuk mencari rezeki sendiri dihargai,” katanya.

Tidak hanya itu, golongan gelandangan di Anjung Singgah juga dapat menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan oleh mereka.

Sebagai tanda sokongan kepada golongan kurang upaya, pasukan ini membeli roti daripada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (Malaysian Deaf Federation, MDF) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Mereka juga membekalkan toiletries kepada golongan ini.

Iklan

TV3 dan #iamFaithmen juga turut membantu ibu-ibu Chow Kit dengan membelikan barangan dapur untuk mereka menyediakan juadah berbuka puasa untuk 200 orang. Sebanyak 60 keluarga di Buku Jalanan Chow Kit juga diberikan barangan keperluan asas untuk menampung kehidupan mereka.

 

(FOTO: TV3)