PENYANYI Fitri Haris meluahkan kesedihannya apabila terpaksa membiarkan anak perempuannya, Sofea Solehah, 16, pulang sendiri ke Singapura, selepas Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa pada 18 Mac lalu hingga 31 Mac depan.

Menurut Fitri, 36, ketika pengumuman tersebut dibuat, mereka berada di Universiti Utara Malaysia.

“Apabila saya hendak menghantar Sofea pulang, semua jalan darat imigresen tutup dan tak boleh masuk ke Singapura.

“Saya cuba menghubungi semua kenalan di pihak berkuasa, namun tiada satu jalan pun selain menerusi penerbangan.

“Apa yang membuatkan saya sedih adalah kerana tidak boleh menemaninya pulang. Jika orang Singapura ke KLIA dan balik semula Singapura untuk ambil Sofea, mereka pula kena self quarantine selama 14 hari,” ujarnya.

Fitri akhirnya terpaksa akur dengan keadaan dan membiarkan anaknya yang masih bawah umur dan warganegara Singapura itu untuk menaiki penerbangan pulang seorang diri.

Bagaimanapun penyanyi yang popular dengan lagu Garis Takdir itu lega apabila syarikat penerbangan tersebut menawarkan pembantu untuk menemani anaknya dalam penerbangan tersebut sehingga bertemu ibunya.

“Anak saya masih bawah umur dan saya tak pernah membiarkan Sofea sendiri. Apa pun hati saya lega sedikit apabila Malaysia Airlines ada menawarkan pembantu untuk  bawa Sofea sampai ke tempat duduk. Malah apabila sampai, pembantu akan bawa  kepada mama Sofea,” ujarnya.

Iklan

Sofea yang merupakan anak Fitri daripada perkahwinan terdahulunya dengan bekas isteri dan kini menetap di Singapura.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian yang sama di Instagram miliknya, Fitri turut memohon orang ramai agar tidak keluar rumah dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan.

“Covid-19 banyak mengajar kita, banyak memberi hikmah buat mereka yang mahu berfikir. Stay at home. Jangan keluar untuk perkara yang tidak penting.

Iklan

“Luangkan masa dengan diri sendiri untuk bermuhasabah dan bersama keluarga sementara masih ada masa.

“Tatkala kalian sibuk dengan kerja dan urusan lain, saat itu tiada masa dengan keluarga dan diri sendiri. Hikmah ini akan dapat kebaikannya buat mereka yang tahu bersyukur dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya.