TIDAK mahu memberi risiko kepada ibunya yang kini sudah berusia 80 tahun, pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor membuat keputusan untuk tidak pulang berhari  di rumah orang tuanya sebagaimana kebiasaan.

Menurut Rosyam, biarpun jarak perjalanan ke rumah ibunya di Kampung Melayu Subang hanya mengambil masa selama 10 minit sahaja, dia dan adik-beradik sepakat untuk tidak berkumpul bersama demi kebaikan ibu mereka.

“Rumah mak saya dekat Kampung Melayu Subang hanya 10 minit dari rumah saya,  tapi sebab mak dah umur 80 tahun, kami sekeluarga dan keluarga adik beradik yang semua yang tinggal di KL mengambil keputusan tidak balik kampung beraya tahun ni,” tulis Rosyam.

Dalam perkongsian yang dilakukan di laman Instagram miliknya, Rosyam juga memuat naik sekeping foto yang menyaksikan sebuah banner dinaikkan di depan rumah ibunya.

Antara ayat yang tertulis pada banner tersebut berbunyi, “Kami keluarga Biahsudin (Wok) mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Mohon Maaf, tahun ini kami sekeluarga tidak terima kunjungan. Video call aje.”

Menjelaskan tentang perkara tersebut Rosyam berkata tindakan itu dilakukan untuk mengelakkan rumah ibunya itu menjadi tumpuan tetamu yang lain datang beraya.

“Gantung banner kerana takut kami tak balik, orang lain pula datang. Kalau raya, rumah mak saya jadi tumpuan beratus anak cucu dan anak cucu saudara.

Iklan

“Ini kerana dalam keluarga mak saya, dia saja yang masih hidup. Jadi anak cucu semua akan datang bertandang.

“Maafkan kami sekeluarga. Untuk kebaikan bersama.  Insya-ALLAH ada umur, tahun depan kita raya sakan,” jelas Rosyam.

Iklan

 

(SUMBER/FOTO: Instagram Datuk Rosyam Nor)