SELEPAS lebih tiga bulan berehat daripada menjalani penggambaran, pelakon popular Shukri Yahaya teruja dapat kembali bekerja dan meneruskan penggambaran yang tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 2, Shukri mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan normal baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama 7 Hari Mencintaiku 2 dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Pihak produksi sentiasa memastikan semua pelakon dan kru dalam keadaan yang baik dengan memastikan semua orang mematuhi SOP, selain mengambil suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman sepanjang berada di lokasi.

“Cuma dari segi lakonan sahaja ia sedikit terganggu apabila kita terpaksa menjaga jarak walaupun untuk babak-babak yang memerlukan keadaan di sebaliknya.

“Jadi pengarah dan kru perlu menggunakan kreativiti mereka termasuk cara ‘camera trick’ untuk mengatasi masalah itu,” ujar Shukri kepada SinarPlus.

Mengulas lanjut tentang sekuel drama yang pernah menjadi fenomena tiga tahun lalu itu, kata Shukri, dia sendiri tidak sabar untuk melihat bagaimana penerimaan penonton terhadap naskhah tersebut.

“Pada awalnya saya risau adakah drama ini dapat memberikan impak yang sama seperti musim pertamanya dulu.

“Bagaimanapun penerbit dan penulis novelnya sendiri menyakini saya bahawa naskhah ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

“Kami cuba melakukan yang terbaik dan sangat berhati-hati sepanjang penggambaran agar karakter yang dilakonkan tidak lari daripada musim terdahulu,” kata Shukri yang digandingkan dengan Siti Saleha.

Bakal timang anak kedua

Berkongsi kehidupannya dalam tempoh pelaksanaan PKP, aktor tersebut bersyukur mempunyai wang simpanan untuk menampung hidup di saat tidak dibenarkan keluar bekerja.

“Alhamdulillah walaupun tiada pendapatan yang dihasilkan, kehidupan saya dan keluarga tidak terjejas kerana mempunyai sedikit wang simpanan untuk menampung hidup dalam tempoh itu.

Iklan

“Bagaimanapun jika PKP dilanjutkan lebih lama lagi, mungkin kami juga akan berdepan kesukaran yang tidak dapat dijangkakan.

“Semua orang melalui perkara yang sama di mana masing-masing bergelut mencari pendapatan untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shukri yang kini sibuk menyusun kembali jadual kerjanya, teruja menantikan kelahiran cahaya mata keduanya dalam masa terdekat ini.

Iklan

Menurut bapa kepada Aira Ameena, 4, dia lega apabila untuk kehamilan kali ini, isterinya, Tya Adnan tidak mengalami alahan teruk, malah dalam keadaan yang baik.

“Biarpun ia merupakan kelahiran untuk cahaya mata kedua, tetapi saya sangat teruja dan tidak sabar menantikan detik itu kerana kali ini isteri dijangka melahirkan anak lelaki.

“Segala persiapan telah dibuat dan insya-ALLAH saya juga akan mengambil cuti selama seminggu untuk menemani isteri dan anak,” ujarnya.