JUARA Big Stage 2019, Han Byul memberitahu masih berusaha untuk menguasai penggunaan bahasa Melayu selepas hampir setahun menetap di Malaysia.

Menurut Han Byul atau nama penuhnya Jang Han Byul, 30, setakat ini dia boleh memahami apa yang disampaikan orang lain dalam bahasa Melayu, tetapi belum mampu sepenuhnya untuk bercakap Melayu.

“Saya boleh faham sikit-sikit tapi belum yakin nak berbual dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun saya akan terus berusaha untuk belajar.

“Apatah lagi saya serius untuk meneruskan kerjaya saya di sini dan sudah mempunyai beberapa perancangan termasuk membintangi sebuah filem tahun ini.

“Harapnya hari demi hari bahasa Melayu saya akan lebih baik,” katanya kepada Sinar Plus ketika ditemui baru-baru ini.

Berkongsi perkembangan terkininya, Han Byul ampil dengan single baharu berjudul Retak hasil ciptaan Amylea Azizan dan Farouk Roman selaku komposer.

“Lagu ini banyak mengajar saya untuk mendalami aspek penyampaian lagu Melayu, terutamanya dari sudut emosi.

“Malah lagu ini merupakan antara lagu paling sukar pernah saya rakamkan sepanjang penglibatan saya dalam bidang nyanyian,” jelasnya.

Retak boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi semua portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, KKBox.

Iklan

Simpati penularan Covid-19

Sementara itu, ditanya mengenai penularan virus koronavirus (Covid-19) yang teruk melanda negara asalnya, Korea Selatan, Han Byul memberitahu turut merasa simpati dengan keadaan semasa di sana.

Malah dia juga berharap situasi sama tidak akan terjadi di Malaysia.

Iklan

“Saya dah lama tak pulang ke Korea kerana kesibukan kerja di sini. Tapi saya sentiasa mengikuti perkembangan dan bertanya khabar keluarga di sana.

“Apa yang saya harapkan, situasi penularan virus di Malaysia tidak menjadi serius seperti di Korea,” katanya.