PENYANYI Syura meluahkan rasa kesalnya dengan satu status yang dimuatkan naik di sebuah akaun Facebook (FB) palsu yang cuba menjatuhkan maruahnya sebagai seorang ibu tunggal.

Akaun FB yang menggunakan namanya itu baru-baru ini memuat naik status yang menggambarkan dia seolah-olah terdesak untuk menamatkan zaman jandanya.

“Sebelum ini saya tidak menyedari kewujudan FB tersebut sehinggalah ia dimaklumkan oleh peminat saya. Itupun kerana FB tersebut memuat naik satu status yang memalukan dan menjatuhkan maruah saya.

“Ramai yang keliru dengan status tersebut dan menyangkakan itu benar-benar saya kerana pemilik FB tersebut menggunakan gambar-gambar terbaharu saya yang diambil tanpa kebenaran di Instagram.

“Saya sudahpun menghubungi pemiliknya berhubung kejadian tersebut dan dalam masa yang sama meminta orang ramai agar membuat laporan tentang akaun palsu itu agar dia tidak terus menyalah-gunakan nama saya,” jelasnya.

Biarpun sudah lebih empat tahun bergelar ibu tunggal, Syura nama sebenarnya Zuraidah Badron, 34, mengakui bahagia dengan kehidupannya kini dan belum terfikir untuk mencari jodoh baharu.

“Bukan kerana kesal, fobia atau tidak mahu berkahwin lagi, tetapi buat masa ini kehidupan saya hanya untuk anak-anak,” jelasnya.

Iklan

Menerusi perkahwinannya dengan bekas suami, Syura dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 13, Nurul Qaisara Sofia, 11 dan Muhammad Irfan Aryan, 9.

 

Iklan

(FOTO: Instagram Syura)