ANDA pasti tidak asing lagi dengan nama Hawa Rizwana dan Fatin Hamimah yang merupakan penyampai berita di TV3 dan TV9.

Bermula dari 1 April lepas, Hawa Rizwana dan Fatin Hamimah telah menyertai Fiza Sabjahan, Hazrena Kassim, Fahrin Ahmad, Sugeeta dan Uyaina Arshad sebagai hos program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI).

Penampilan sulung Fatin Hamimah di WHI bergandingan dengan Hazrena Kassim dan Sugeeta pada 1 April manakala Hawa Rizwana pula bersiaran pada 3 April bersama-sama dengan Fiza Sabjahan dan Uyaina Arshad.

Pengalaman mereka dalam bilik berita TV bukan saja menjadi faktor utama kedua-duanya dilamar oleh WHI. Dalam usia yang muda, kedua-duanya telah mengecapi kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Kecekalan dan kegigihan mereka dalam mengejar impian dan pada masa yang sama tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat juga menepati ciri-ciri WHI yang sentiasa mahu mengetengahkan ikon wanita muda kepada penonton.

Bagai sirih pulang ke gagang, Hawa atau nama penuhnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 25, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) di UiTM mula bertatih di industri penyiaran TV sebagai pelatih dengan produksi WHI pada Mac 2017.

Selepas itu, Hawa memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan penyampai berita di TV9 pada tahun yang sama.

HAWA RIZWANA
Hawa, bakat baharu yang semakin menyerlah.

Kini, Hawa juga diberikan tanggungjawab mengendalikan Buletin Utama di TV3 pada tahun 2019 dan beberapa program semasa.

Berkongsi perasaannya menyertai barisan pengacara WHI, Hawa berkata, sejak kecil lagi dia amat meminati bidang pengacaraan dan pemilihannya itu ibarat mimpi yang menjadi kenyataan.

Iklan

“Sejujurnya memang berbeza dunia penyampaian berita dan pengacaraan. Bila baca berita ada prompter tapi bila kendali program bual bicara, kita perlu tampil dengan idea sendiri.

“Apa pun kami sudah dilatih oleh kak Fiza Sabjahan dan harapnya penonton dapat menerima cara kami. Malah saya harap dapat menarik wanita sebaya saya menonton WHI,” katanya dalam temubual menerusi sidang video kelmarin.

Bagi Fatin atau nama sebenarnya Fatin Hamimah Mohd Yusof), 30, yang juga berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) di UiTM, dia sudah mendedikasikan diri dalam penyampaian berita TV sejak tahun 2014 di TV3, TV9 dan ntv7.

Bermula sebagai wartawan penyiaran, Fatin juga pernah mengendalikan program semasa dan politik seperti insiden MH370, insiden MH17 dan Pilihan Raya Umum 14.

Selain berpengalaman untuk mengendalikan segmen gaya hidup untuk Buletin Utama, dia juga diberikan tanggungjawab sebagai penerbit eksekutif untuk program berita di TV3, TV9 dan ntv7.

Iklan

Melihat pemilihannya sebagai barisan pengacara MHI satu cabang baharu untuk diterokai, Fatin mengakui agak janggal pada awalnya untuk mengendali sebuah program bual bicara.

“Saya sering membaca berita, jadi tentunya terbawa-bawa gaya itu tanpa saya sedari. Malah ketika mengendalikan episod pertama, saya ada terlepas menggunakan intonasi ketika membaca berita.

“Saya tak perasan, sebaliknya rakan penyampai, Sugeeta yang menegur ketika iklan. Walaupun dah biasa sebagai penyampai berita, saya anggap dunia pengacaraan ini sebagai cabang baharu untuk diterokai.

“Apa pun saya tidak merancang untuk meninggalkan dunia penyampaian berita, sebaliknya selesa untuk bergerak kedua-dua cabang seiring,” ujarnya.

Tambah Fatin, dia berharap dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dengan barisan pengacara yang lain serta memberi input yang lebih bermanfaat kepada penonton.

“Saya berharap dapat bawa kelainan dan penonton dapat menerima kehadiran kami sebagai penyampai baharu WHI,” katanya.

Fatin bersama rakan pengacara WHI yang lain.
Fatin (kanan) bersama rakan pengacara WHI yang lain.

WHI bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 12 tengah hari, selama sejam di TV3 dan boleh strim di laman sesawang www.tonton.com.my. Gunakan tanda pagar #WHITV3 #inspirasiwanita dalam merancakkan perbualan di platform media sosial.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.