MENELUSURI perjalanan hidup figura nan seorang ini, tidak dinafikan ramai yang mengagumi. Apakan tidak, selain pakej ketrampilan diri serba rapi, bakatnya sebagai ahli perniagaan tidak kurang gahnya.

Tidak hairanlah dengan pulangan yang dikecapi oleh beliau pada hari ini, onak duri dalam perniagaan umpama tidak membekaskan ‘kudis‘.

Berbaki esok sahaja lagi pelakon jelita, Rozita Che Wan membuka peluang kepada orang ramai membeli-belah produk raya ‘bersamanya‘. Maklumlah, jika dihitung hari Ahad depan, insya-ALLAH umat Islam bakal menyambut lebaran.

Pun begitu, sesi membeli-belah yang ditawarkan Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta itu tidak berlangsung baik di gedung mahupun bazar raya, sebaliknya secara alam maya.

Memahami kekangan masyarakat yang bimbang untuk keluar rumah dek penularan wabak Covid-19, beliau bersama adik iparnya, Datuk Muhammad Faizal Zainul mewujudkan kemudahan dengan medium berkenaan.

“Sebelum ini tak pernah terfikir pun untuk membuka platform beli-belah raya secara online (dalam talian). Itu kerana setiap kali Ramadan, saya sibuk di set penggambaran, menguruskan keluarga ataupun menunaikan umrah.

“Namun demikian, idea ini tercetus ketika berbual di telefon bersama adik ipar sekitar awal bulan Ramadan. Topik kami pada waktu itu banyak membincangkan mengenai situasi peniaga yang terjejas kerana tidak berpeluang berniaga di bazar atau festival raya berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),“ katanya.

Wanita berusia 47 tahun tersebut berkongsi dengan SinarPlus baru-baru ini, tatkala bercerita mengenai KiahRaya.com yang merupakan salah satu aktiviti Ramadan bagi memenuhi masanya sepanjang tempoh PKPB.

Memandangkan beliau juga seorang usahawan, Che Ta tidak membuang waktu mewujudkan medium atas talian itu.

“Kami segera set-up team dan cipta ruang niaga online bagi memudahkan kumpulan peniaga dan pelanggan mendapatkan kelengkapan raya,“ ujar personaliti yang sering dikatakan mempunyai karisma tersendiri itu.

Karektor Kiah
Mengapa nama ‘Kiah‘ menjadi pilihan berbanding nama sendiri atau jenama lebih catchy?

rozita che wan
CHE TA mewujudkan platform online KiahRaya.com bagi membantu para peniaga yang tidak berpeluang meniaga di bazar raya memasarkan produk mereka.

Bicara Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar @Che Wan, keputusan itu diambil susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan nama Mak Cik Kiah sebagai analogi mudah ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

“Kebetulan nama Mak Cik Kiah tengah trending dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Tambahan pula, saya turut dikenali dengan nama Kiah Pekasam selepas membawa karakter terbabit menerusi siri komedi berkenaan yang disiarkan sedekad lalu.

“Lagipun watak Kiah Pekasam itu sendiri mempamerkan seorang wanita yang suka berniaga,“ tutur isteri kepada pelakon, Zain Saidin itu lagi.

Menawarkan kepelbagaian produk raya keluaran lebih 1,000 usahawan tempatan, menurutnya, barangan dijual di platform dalam talian itu juga dijual pada harga berpatutan. Antaranya ialah busana wanita dan jejaka, kuih raya, aksesori, sepatu, hijab dan kosmetik.

Cerita anak kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut, platform KiahRaya.com bagaikan serampang dua mata. Selain memberi peluang peniaga lokal meraih pendapatan raya, sebahagian hasil jualan digunakan untuk membeli keperluan asas.

“Keperluan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula akan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan. Pemilihan senarai nama mereka yang layak adalah ditentukan oleh rakan strategik, Malaysian Relief Agency (MRA).

“Kami memahami majoriti rakyat terjejas sumber pendapat dek PKP. Justeru, dengan sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban mereka pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal tidak lama lagi,“ ujarnya yang menyifatkan Ramadan tahun ini mencipta 1,001 kemanisan.

Selain memanfaatkan sepenuh masa bersama suami dan tiga cahaya mata, Che Ta juga menzahirkan keterujaan kerana berpeluang turun padang menyampaikan sumbangan buat mereka yang memerlukan.

Raya normal baharu
Menyentuh mengenai Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan dalam situasi normal baharu, beliau sedikit pun tidak berasa ralat. Jauh sekali untuk wanita kental itu mengeluh panjang apabila pihak kerajaan tidak membenarkan rakyat Malaysia pulang ke kampung.

“Suka atau tidak, kita (rakyat) harus mematuhi perintah yang dikeluarkan demi kesejahteraan bersama. Kesihatan perlu dititikberatkan kerana virus ini (Covid-19) bahaya dan boleh meragut nyawa.

“Walaupun kerajaan membenarkan 20 ahli keluarga berkumpul pada hari raya pertama, tetapi saya dan suami mengambil langkah berwaspada. Insya-ALLAH kami beraya lima beranak sahaja di kediaman peribadi. Kekal di rumah adalah lebih selamat,“ ujar Che Ta.

rozita che wan
TAHUN ini, Che Ta (dua dari kanan) beraya bersama suami, Zain (dua dari kiri) dan tiga anaknya, Ammar (kiri), Aniq (kanan) dan Aishah di Kuala Lumpur kerana patuh arahan PKPB.

Tidak berkesempatan menyambut lebaran bersama ibu dan neneknya di kampung yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah, biarpun berada di ibu kota sahaja, situasi berkenaan sedikit pun tidak menjejaskan mood raya beliau.

Bekas pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) itu malah telah menyediakan senarai sajian untuk dinikmati pada pagi raya.

Che Ta mengakui saban tahun dapur rumahnya tidak berasap kerana kelazimannya raya pertama beliau di rumah ibu mertua, manakala hari raya kedua pulang ke Alor Setar.

rozita che wan
CHE TA (dua dari kanan) turut berasa sedih tidak dapat pulang ke kampung bertemu ibunya, Zabedah Saad (tiga dari kanan) dan berkumpul bersama adik-beradik perempuan lain iaitu Rohaiza (kiri), Ruby (dua dari kiri), Rahimah (kanan) dan pelakon, Ayu Raudhah (tiada dalam foto).

“Bagaimanapun, disebabkan PKPB, maka saya sendiri akan memasak juadah raya. Setakat ini yang menjadi pilihan anak-anak ialah hidangan nasi hujan panas, daging masak hitam, dalca, kuah kacang dan paling wajib ketupat palas.

“Saya lebih puas masak dengan air tangan sendiri daripada menempah di luar. Kadangkala kualiti rasa tidak sama seperti yang kita harapkan. Bahkan, sepanjang Ramadan ini segala juadah berbuka dan sahur saya masak termasuk membuat kuih-muih,“ ujar beliau yang selesa menyediakan kelengkapan dan busana raya sebulan sebelum bulan puasa.

Tuturnya, persediaan awal lebih mudah kerana tidak kelam-kabut pada minit terakhir. Pada masa sama, beliau berharap dapat menjalani ibadah puasa, bertarawih dan bertahajud dengan tenang tanpa perlu memikirkan perihal raya.

Seperkara yang menarik tentang empunya diri, Che Ta menyatakan sejak berusia 30 tahun sehingga kini beliau sukar untuk meninggalkan tabiat menjahit manik.

“Selalunya, selesai solat tarawih saya dan adik-beradik perempuan akan menjahit manik pada baju raya yang sudah siap ditempah.

Iklan

“Kemudian, masing-masing akan jahit taburan manik mengikut kreativiti supaya penampilan tampak glamor dan mewah (ketawa). Kalau nak tahu sehingga hari ini saya masih aktif menjahit manik sendiri walaupun koleksi busana dihantar kepada pereka fesyen,“ katanya.

Bukan itu sahaja, beliau turut menjahit manik, perincian dan tampalan hiasan tambahan pada himpunan jubah Padusi yang dijual di butik perusahaannya sendiri, jelas Che Ta sebelum menutup bicara.

Profil:

Nama penuh: Rozita Abu Bakar @Che Wan

Nama karier: Rozita Che Wan, Che Ta

Umur: 47 tahun

Tempat lahir: Alor Setar, Kedah

Adik-beradik: Anak kedua daripada tujuh beradik

Suami: Zain Saidin

Anak:

Iklan

– Ammar Effendy (19 tahun)

– Aniq Ezzra (17 tahun)

– Aishah Dhia Rana (6 tahun)

Pendidikan:

– Sekolah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Tokai, Alor Setar, Kedah

– Sekolah Menengah Sharifah Rodziah, Alor Setar, Kedah

Hobi: Menjahit, mengemas

Kerjaya: Bekas pramugari MAS, model, duta, pelakon dan usahawan

Antara filem:Sifu dan Tongga, Dunia Baru the Movie, 4 Madu, Adik Manja Returns dan Kembar Siang.

Antara drama & telefilem:Kiah Pekasam, Diari Ramadan Rafique, Jelatang, Sofia, Manjalara, Miss Octapus, Aku Janda Belum Kaya, Oh Speak English Please dan Kisah Dari Mekah.