SEPANJANG April ini, iflix mengumumkan bakal tampil dengan tayangan pelbagai judul baharu filem secara eksklusif dan percuma seperti Daulat, Ghost Writer dan Pengabdi Setan di platform iflix.com.

Menerusi beberapa judul baharu yang disajikan iflix, penonton akan mendapat lebih seleksi hiburan yang boleh ditonton ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apatah lagi ketika tempoh PKP, orang ramai tidak boleh ke pawagam mahupun keluar dari rumah untuk berhibur.

Jesteru itu, iflix berperanan sebagai platform percuma yang menawarkan ratusan siri TV dan filem pelbagai genre, membolehkan penonton berhibur dan santai bersama keluarga untuk menyaksikan pelbagai judul baharu yang boleh ditonton setiap minggu sepanjang tempoh PKP di iflix.com.

Menurut Pengurus Besar iflix, Dinesh Ratnam, iflix sentiasa cuba memberikan yang terbaik buat penonton.

“Penonton adalah keutamaan kami, sebab itulah pelbagai judul filem baharu dan terkini akan disajikan setiap minggu khas buat penonton secara percuma.

“Menerusi kerjasama dengan produksi Lacuna Pictures, Daulat menjadi satu fenomena baharu dalam industri pembikinan filem tempatan, kerana filem ini telah ditayangkan di iflix secara percuma tanpa memerlukan penonton ke pawagam atau dikenakan sebarang bayaran.

“Pendekatan sebegini adalah berkesan untuk memastikan penonton sentiasa mendapat kandungan lebih segar setiap minggu dan terhibur dengan perkhidmatan yang kami sediakan,” katanya.

Iklan

Selain Daulat yang kini sedang hangat ditayangkan, penonton boleh menyaksikan Ghost Writer yang akan ditayangkan bermula 23 April dan Pengabdi Setan (7 Mei).

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai judul filem terbaharu mahupun perkembangan terkini di iflix, boleh ikuti laman sosial media iflix di Facebook (@iflixMY), Instagram (@iflixMY) dan Twitter (@iflixMY).

Iklan

 

(FOTO: iflix)