JIKA singgah ke laman sosial Instagram peribadi @nouruldepp, pembaca akan melihat ruangan feed dipenuhi video dan foto yang sarat dengan butiran kata positif.

Lebih mencuit hati apabila selebriti Nourul Wahab berkomunikasi pula dalam loghat Utara. Kadangkala ‘leteran’ beliau itu mencuit hati hingga mampu membantu menenangkan fikiran dan jiwa yang sedang berkecamuk.

Baik di Malaysia mahupun ketika pulang ke kampung halaman suami, Eric Daniel Depp di Paris, Perancis, Nourul sentiasa berkongsi video yang tidak keterlaluan penulis menyifatkan bukan ‘syok sendiri’. Sebaliknya, lebih kepada topik antaranya isu semasa, sikap masyarakat, kesihatan, menu dan kekeluargaan.

Menurut wanita berusia 43 tahun itu, kecenderungan beliau berkongsi aura positif bersama masyarakat secara tidak langsung membantunya mencipta kebahagiaan luar biasa.

Ikuti perkongsian lanjut beliau menerusi segmen Petua Kehidupan pada minggu ini yang boleh dijadikan inspirasi kepada wanita muda.

1) Fokus perkara baik

Nourul yang dilahirkan di George Town, Pulau Pinang menjelaskan, kecenderungan beliau berfikiran dan berkongsi perspektif positif dan logika telah mencipta aura kebahagiaan luar biasa.

Padanya, sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling tidak pantas dijatuhkan hukum, sebaliknya melihat sudut positif dan dari segi nilai dan ciri logiknya.

“Tabiat ini (berfikiran logik dan positif) semakin bercambah selepas mendirikan rumah tangga bersama Eric Daniel Depp yang merupakan jurulatih pembangunan peribadi berkaitan kesihatan dan kecergasan.

“Salah satu skop tugasan saya dan suami adalah mengadakan latihan mendidik orang ramai supaya sentiasa berfikiran positif dan logik serta fokus pada perkara baik-baik demi kesejahteraan hidup,” tutur Nourul yang juga aktif berkongsi video untuk tatapan para pengikutnya di Facebook, Instagram dan YouTube.

Berbicara lanjut mengenai kandungan video yang dihasilkan, Nourul tidak meletakkan sebarang topik khusus. Lazimnya, ia berkisar tentang isu semasa.

“Sebagai rakyat Malaysia, mungkin dengan cara berkongsi ceritera dan memberikan pandangan serta idea berkaitan topik dibincangkan sedikit sebanyak dapat menyebarkan mesej positif kepada para pengikut.

“Biarpun mendapat kecaman daripada segelintir netizen, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya,” jelasnya.

2) Gaya hidup sihat

nourul wahab
NOURUL mengamalkan gaya hidup sihat sejak berusia 22 tahun sehingga hari ini. Foto: Instagram @nouruldepp

Mengamalkan gaya hidup sihat sudah sebati dalam kehidupannya sejak berusia 22 tahun.

“Misi utama saya bukan untuk kurus semata-mata, tetapi lebih kepada memiliki tubuh sihat.

“Ini disebabkan saya trauma pada kegemukan kerana masalah genetik,” ujar Nourul.

Bagaimanapun, perkara ditakuti menjadi realiti selepas melahirkan anak sulung, Ayu Nazirah hasil perkahwinan terdahulu bersama komposer, Ajai.

Iklan

“Ketika itu saya berusia 22 tahun. Bayangkan, darah muda mendorong saya menelan ubat kurus mengandungi steroid.

“Tidak cukup dengan itu, saya ambil pula produk jamu bagi membolehkan pelawasan cirit-0birit. Malangnya, pengakhiran usaha mengecewakan apabila fizikal kurang bermaya dan tidak sihat,” imbas Nourul mengenai momen pahit tersebut.

Enggan membiarkan situasi itu berterusan, beliau memutuskan untuk mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang pemakanan dan nutrisi.

“Suka saya ingatkan khususnya wanita muda, untuk memiliki kesihatan berpanjangan dan badan menawan bukan tugas mudah.

“Bersabar, usaha dan konsisten bagi mendapatkan hasil positif kelak,” terang beliau yang berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 15 kilogram selepas melahirkan anak keempat, Isabella Depp tahun lalu.

Iklan

3) Ingat pesan mentua

Mengahwini jejaka Perancis pada bulan Jun 2012 telah menyatukan dua budaya, Barat dan Timur. Situasi itu sedikit pun tidak membimbangkan, malah Nourul bersyukur kerana dipertemukan jodoh dan keluarga mentua yang baik.

Ibu dan bapa mentua melayaninya persis anak kandung membuatkan Nourul rasa dihargai, disayangi dan dihormati.

nourul wahab
NOURUL (kiri) bersama suami, Eric (kanan) dan ibu serta bapa mentua beliau. Foto: Instagram @nouruldepp

“Walaupun berlainan agama dan budaya, mereka (mentua) tidak pernah membezakan kasih sayang terhadap saya dan suami. Saya bukan sahaja boleh memasak dan bergurau senda, bahkan boleh bercerita tentang agama.

“Mereka berfikiran terbuka dan tidak pernah mempersendakan mana-mana agama. Selain itu sangat pemurah dan baik hati,” luah Nourul.

Ditanya, apakah nasihat mentua yang sentiasa menjadi pegangan? Jelas Nourul: “Jangan tinggal solat. Sentiasa melakukan kebaikan dan elak melontarkan komen tentang politik serta agama kerana ia isu sensitif.”