SELEPAS digodam pihak tidak bertanggungjawab pada Jun lalu, Stesen radio Suria FM memaklumkan bahawa akaun media sosial Instagram milik mereka, @suriamalaysia kembali aktif bermula hari ini.

Menurut Pengurus Kanan Suria FM, Cik Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, akaun Instagram itu berjaya diperoleh kembali setelah hampir sebulan berusaha.

Meskipun begitu, DJ Lin mengakui kejadian yang berlaku itu turut menjejaskan beberapa kerjasama yang dirancang untuk 2020.

“Walaupun kebanyakan posting didapati telah dipadam, namun jumlah pengikut Instagram Suria Malaysia tidak berubah banyak.

“Kejadian akaun media sosial digodam ini sedikit sebanyak telah menjejaskan beberapa kerjasama yang dirancang untuk  tahun 2020,” kata DJ Lin.

Kembali dilancarkan bermula hari ini, pihak Suria akan terus mengemaskini akaun tersebut dengan maklumat dan perkembangan terkini untuk pengikut setia Suria FM di Instagram.

Suria juga berterima kasih kepada pengikut yang kekal mendengarkan Suria dan menggunakan platform media sosial Suria FM yang lain ketika masalah tersebut berlaku.

Dalam masa terdekat juga, Suria akan memberikan pelbagai hadiah menarik menerusi platform Instagram @suriamalaysia kepada pengikut lama dan baharu.

Iklan

Pada 4 Jun lalu, pihak Suria mendedahkan akaun Instagram mereka tidak boleh diakses akibat digodam pihak tidak bertanggungjawab. Laporan polis dibuat untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk berlaku.

Untuk info lanjut, boleh layari laman web suria.my. Suria juga boleh didengari melalui aplikasi Suria FM yang boleh dimuat turun di Google Playstore dan App Store.

Iklan

 

(FOTO: Suria FM)