TERSENTUH melihat kesempitan hidup sesetengah rakyat Malaysia yang tidak dapat mencari rezeki sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Intan Najuwa mengambil inisiatif sendiri untuk membantu.

Menurut Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 23, dia telah membuka sebuah akaun bank khusus untuk menerima sumbangan.

Malah, Intan terlebih dahulu menyumbang sebanyak RM10,000 sebelum mengajak para pengikut Instagramnya untuk sama-sama membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, setakat ini dia berjaya membantu 50 keluarga dan berhasrat membantu lebih ramai lagi.

“Saya akan teruskan usaha memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Daripada saya sendiri, saya hanya mampu beri RM10,000 dan alhamdulillah baru-baru ini dapat kumpul RM4,000 daripada pengikut Instagram saya.

“Sedikit sebanyak dapatlah membantu mereka yang susah di seluruh negara dengan bantuan pasukan sukarelawan saya.

“Kebanyakan yang kami bantu terdiri daripada keluarga susah dan juga ibu tunggal,” katanya kepada Sinar Harian.

https://www.instagram.com/p/B-wahWEjOQb/?utm_source=ig_web_copy_link

Meskipun berniat baik untuk membantu, pelakon Setelah Ku Dimiliki itu juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman netizen. Malah, ada yang bersangka buruk dan menuduh Intan cuba menyelewengkan duit berkenaan.

“Biarpun dituduh sebegitu, wang sumbangan sudah mula diagihkan. Kumpulan sukarelawan saya juga telah bersedia untuk mengagihkan sumbangan selebihnya,” katanya.

Iklan

Sementara itu, berkongsi rutinnya sepanjang tempoh PKP ini, Intan berkata, dia melakukan kerja dari rumah berkaitan perniagaan produk penjagaan rambut, Dico Hair Mask yang baru beroperasi.

Selain itu, dia juga mengambil peluang untuk mencuba pelbagai resipi baharu dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Perniagaan Dico Hair Mask baru bermula dan saya juga ada pekerja. Jadi, kami sama-sama bekerja dari rumah untuk memenuhi pesanan pelanggan.

Iklan

“Selain itu, saya isi masa terluang dengan mencuba pelbagai resipi baharu. Namun, perkara paling penting ialah meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya harap rakyat Malaysia akan patuh pada arahan pihak berkuasa. Kita sama-sama duduk di rumah untuk putuskan rantaian wabak Covid-19 ini,” ujarnya.