MINAT seorang pesara terhadap filem-filem arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee telah memberi ilham kepadanya membina calet yang dinamakan Istana Sangkut di atas tanah kebun seluas 1.8 hektar.
Istana Sangkut merupakan salah satu babak yang dipaparkan dalam filem Do Re Mi.
Tidak cukup dengan itu, Ismail Abdul Manaf turut menamakan beberapa bilik di caletnya di Desa Chatel, Laloh, Kuala Krai, Kelantan itu dengan nama Jagindas, Sujama, Mumbala, Karambit, Katipang dan Baragas yang merupakan watak-watak dalam filem Enam Jahanam.
Bagi menambah lagi daya tarikan, Ismail turut mengaplikasikan konsep pondok pelbagai bentuk termasuk konsep segi tiga dan U pada kamar-kamar calet.
Kepada yang suka konsep perkhemahan, ahli perniagaan itu turut menyediakan khemah gergasi yang boleh memuatkan lapan hingga 10 orang dengan bayaran semalam RM100 sahaja.
“Asalnya saya mahu bina penginapan berbentuk pembetung paip gergasi, namun pada saat akhir, saya tukar rancangan.
“Alhamdulillah sambutan cukup menggalakkan dan stail segi tiga menjadi pilihan ramai selain desain U dan buluh. Harga semalam hanya RM60,” kata anak jati Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai itu.
Sebagai tambah nilai, keindahan air terjun Lata Rek yang terletak bersebelahan dengan penginapan Istana Sangkut bakal menjadikan percutian pengunjung yang bertandang ke sana lebih menggembirakan dan bermakna.
Apa lagi yang boleh dibuat di calet yang mendamaikan itu? Jawab Ismail: “Selain mandi-manda, pengunjung juga boleh membuat pelbagai aktiviti lain seperti pengembaraan pacuan empat roda, flying fox, aktiviti merentas air termasuk memasak sendiri.”
Konsep pondok segi tiga bukan sahaja terdapat di Kelantan, malah beberapa negeri lain juga mengimplemenkan konsep serupa.
Lebih menarik, terdapat pengusaha menyediakan kolam renang khas untuk si cilik selain menampilkan keunikan pada calet mereka dengan mengecat bilik-bilik tempat penginapan dengan pelbagai rona seperti warna pelangi.
Terdapat juga lokasi yang mempunyai landskap yang cantik untuk pengunjung berswafoto.
Nah! SinarPlus senaraikan empat destinasi rekreasi lain untuk dipertimbangkan pembaca sempena Jom Rileks minggu ini:
D‘Teratai Anggun Sepintas
- Alamat: Lot 178, Batu 2, Sepinta, Sabak Bernam, Selangor
- Pakej: Bermula RM120 hingga RM250
- Facebook: D‘Teratai Anggun Sepintas
- Instagram: @dteratai.anggun
Masbro Village Homestay Boutique
- Alamat: Lot 291, Batu 7 ½, Paya Rumput, Jalan Paya Rumput Perdana, Melaka
- Pakej: Harga bermula RM280
- Facebook: MasBro Village 1
- Instagram: @masbrovillage
Little Tanjung Chalet
- Alamat: Kampung Tanjung, Kampung Kedawang, Langkawi, Kedah
- Pakej: Harga bermula RM139 hingga RM219
- Facebook: Little Tanjung Chalet
- Instagram: @littletanjung
Nipah Guesthouse Pangkor
- Alamat: Teluk Nipah, Pangkor Perak.
- Pakej: Harga bermula RM180
- Facebook: Nipah Guesthouse Pangkor
- Instagram:@nipah.guesthouse