LEBIH tiga bulan berada di rumah, pelakon dan pelawak Filzah Azmi mengakui teruja untuk kembali bekerja setelah lama terjejas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Filzah yang juga merupakan anggota kumpulan lawak wanita, Awok, jadual kerja yang sepatutnya penuh sehingga hujung tahun ini kini tidak dapat dilaksanakan kerana sebahagiannya daripadanya sudahpun dibatalkan.

“Alhamdulillah setelah hampir tiga bulan tidak bekerja, saya kini sudah kembali menjalani beberapa penggambaran yang tertangguh disebabkan PKP.

“Begitu dengan persembahan komedi yang kini dibenarkan untuk kembali beraksi mulai 1 Julai ini. Teruja nak kembali aktif bekerja sebagaimana sebelum ini.

“Bayangkan jadual kerja yang sebelum ini penuh sehingga hujung tahun, tiba-tiba jadi kosong. Tiga bulan tak buat apa-apa. Jadi bila produksi panggil untuk kembali kerja, semangat yang datang lain macam sikit,” ujar Filzah yang kini sibuk dengan penggambaran slot komedi untuk program Tazkirah Malam Jumaat.

Akur dengan krisis semasa, Filzah bagaimanapun tidak mahu menjadikan situasi itu sebagai alasan untuk terus meratap nasib, sebaliknya terus mencari peluang baharu untuk bekerja.

“Agak tertekan pada awalnya, tetapi akhirnya reda dengan apa yang dikatakan bukan rezeki kita.

“Kebetulan dalam tempoh tiga bulan itu, saya banyak mendapat tawaran mengadakan persembahan komedi dan menjadi emcee untuk beberapa acara. Ada di antaranya melibatkan acara besar.

“Kalau tengok jadual asal, memang senang hati tengok rezeki masuk berterusan, tetapi bila tiba-tiba jadi PKP dan berlaku sebaliknya, redalah rezeki itu sebenarnya bukan milik kita.

“Daripada tak buat apa-apa, saya cari peluang lain dengan bantu rakan berniaga dengan menjual kek. Alhamdulillah bukan sahaja duit masuk, tetapi juga dapat ilmu dan pengalaman baharu dalam bidang ini,” akui Filzah.

Meskipun begitu kata juara program Miss Lawak 2019, keutamaannya tetap kepada bidang komedi yang menjadi minat dan kecenderungannya selama ini. Malah dia mengakui rindu untuk kembali berada di pentas menghiburkan penonton dengan lawak komedinya.

Iklan

“Berniaga memang seronok, tetapi fokus saya tetap pada bidang komedi. Berniaga mungkin sebagai sampingan sahaja.

“Sepanjang PKP, walaupun persembahan komedi tidak dibenarkan secara terbuka di pentas, saya dan rakan-rakan membuat persembahan secara online untuk penonton.

“Ia merupakan inisiatif The Joke Factory iaitu sebuah kelab komedi yang selalu mengundang saya membuat persembahan di sana. Persembahan itu bertujuan untuk memberitahu kepada orang ramai, kelab tersebut masih lagi aktif meskipun tanpa persembahan live di sana.

Iklan

“Biarpun ia dilakukan secara percuma, saya gembira kerana dapat membantu mereka yang sebelum ini banyak tolong saya dan rakan-rakan pelawak lain,” jelas Filzah yang baru sahaja membuka saluran YouTube sendiri.

 

(FOTO: Ihsan Filzah Azmi)