KENAPA Langkawi jadi pilihan? Senang sahaja, kerana Langkawi antara pusat pelancongan popular dunia. Ramai antara kita yang dah rindu pantai. Jadi apabila kerajaan mengumumkan Langkawi sudah boleh dibuka untuk pelancong bermula 16 September, masing-masing yang sudah lama terperuk di rumah kini ‘melepaskan’ geram.

Saya berasa sangat bertuah kerana berada di Langkawi atas tugasan kerja selama empat hari iaitu pada 14 September iaitu dua hari sebelum pembukaan semula dan pulang ke Kuala Lumpur pada 17 September.

Saya memilih untuk menginap di sekitar Cenang kerana bagi saya ini merupakan antara tumpuan utama di Langkawi. Justeru, saya sebagai orang luar berasa bertuah kerana dapat melihat perubahan dari kosongnya Cenang hingga ia kembali bernafas.

Ini antara coretan peribadi saya dan tidak mewakili mana-mana pihak. Sekadar ingin memberi pandangan jujur. Jika korang merupakan anak Langkawi boleh kongsikan pendapat korang juga. Kita sama-sama bagi pendapat.

1. Saya sangat bersetuju apabila kerajaan mewajibkan kepada mana-mana pelancong yang ingin ke Langkawi perlu menjalani swab test terlebih dahulu. 48 jam sebelum terbang, bolehlah buat swab test. Kalau negatif boleh teruskan penerbangan, dan jika sebaliknya, kuarantin kendiri di rumah. Dan saya juga berasakan perlunya swab test kepada mereka yang hendak keluar dari Langkawi. Kita pun tak mahu Covid-19 dari Langkawi merebak ke negeri lain.

2. Untuk penerbangan pula, saya melihat SOP masih lagi longgar. Saya diletakkan duduk bersebelahan dengan orang yang tidak dikenali dengan alasan kerana penerbangan penuh. Jadi tiada penjarakan fizikal di situ. Namun, sebagai orang yang sudah dewasa, boleh jaga diri sendiri.

3. Wajib memakai pelitup muka sentiasa di dalam kapal terbang. Jadi kena pastikan pelitup muka korang jenis yang selesa dan mudah untuk bernafas.

4. Saya yakin orang yang datang bercuti ke Langkawi ini merupakan antara golongan berada, yang masih ada duit dan tidak berapa terjejas pendapatan dengan PKP ini. Oleh itu saya ingin berkongsi beberapa tip yang boleh kita sama-sama amalkan apabila berada di Langkawi ini.

Jangan terlalu berkira dengan peniaga kecil-kecilan anak tempatan. Jika harga yang dipaparkan itu berpatutan, apa kata tak perlulah nak minta diskaun lagi. Bayar sahaja jika mampu. Jika rasa terlalu mahal boleh survey di tempat lain.

Yang penting janganlah buat muka hanya kerana nak minta kurang. Kita harus faham, para peniaga di Langkawi ini sudah hampir empat bulan tidak buka kedai. Malah ada perniagaan yang sudah gulung tikar. Sumber pendapatan mereka adalah dengan kehadiran pelancong. Jadi kita kena sama-sama bantu. Anggap lebihan wang itu sebagai sedekah. Pahala pun dapat kan.

5. Sementara itu, bagi para peniaga di Langkawi pula, diharapkan pun bertolak ansur juga. Kita faham situasi semasa namun harga biarlah berpatutan atau dalam bahasa mudahnya, jangan cekik darah. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga.

6. Jaga SOP. Ini perkara yang sangat penting. Maklumlah, apabila kita bercuti, banyak perkara yang kita terlupa atau sambil lewa. Jangan begitu kerana Langkawi merupakan projek perintis gelembung pelancongan. Jika berjaya Langkawi maka mungkin ada harapan untuk pusat pelancongan lain dibuka semula. Jadi sama-sama la kita pastikan projek ini berjaya dengan menjaga SOP.

7. Saya faham, memang agak leceh jika setiap kali nak masuk kedai, nak kena imbas MySejahtera, kemudian nak kena sentiasa pakai pelitup muka – rimas, panas, berpeluh, sukar bernafas. Tapi itulah SOP yang perlu kita patuhi. Sila ikut. Kalau rasa tak boleh nak ikut, duduklah di bilik hotel sahaja.

8. Penjarakan sosial juga antara perkara yang paling ditakuti kerana kita yakin apabila dah ramai-ramai tu, bagaimana nak menjaga diri kan. Jadi di sinilah peranan penting korang menjaga diri sendiri. Cubalah jauhkan daripada berada di tempat yang ramai dan sesak. Langkawi tu besar, banyak pantai, banyak kedai. Tak perlu nak berebut-rebut di satu tempat.

9. Sentiasa bawa sanitizer atau penyembur. Jujur saya katakan, saya lebih berdisiplin apabila berada di rumah. Barang yang sampai kita letak di luar rumah, sembur dahulu dan kemudian apabila balik dari kerja akan terus mandi, namun ketika bercuti kita akan terlepas pandang perkara begini.

Jadi, untuk semua yang sedang bercuti di mana-mana pun korang berada, silalah amalkan perkara-perkara yang kita amalkan ketika berada di rumah. Seperti contoh, jika beli coklat dari Langkawi, boleh sembur dahulu sebelum bawa masuk ke dalam bilik hotel. Jangan malas.

Iklan

Baca juga Tengah Rancang Bercuti Di Pulau Langkawi? Ini 12 Resort Tepi Pantai Yang Best

10. Jika berada di Langkawi, korang boleh memilih nak naik kereta sewa atau teksi. Terpulang pada masing-masing. Tapi kalau korang merupakan seorang yang terlalu paranoid, mudah sesak nafas jika fikirkan tentang Covid ini, saya cadangkan ambil kereta sewa kerana sebelum masuk, korang boleh sembur dahulu seberapa kerap yang korang suka dan paling penting tidak berkongsi dengan orang lain. Namun saya yakin, teksi-teksi di Langkawi ini pun akan mengikuti SOP yang sepatutnya.

11. Jika nak makan di dalam kedai, pastikan korang tunjuk sijil digital sudah lengkap dua dos vaksinasi Covid-19. Jangan mengeluh jika mereka bertanya kerana itulah prosedurnya. Sepanjang saya berada di Langkawi dan memasuki beberapa kedai, semua pekerjanya sudah menerima dua dos suntikan vaksin. Malah, itu antara syarat bekerja yang ditetapkan. Jadi kita kena sama-sama bantu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

12. Setakat ini tempat makan dan kedai-kedai tidak beroperasi 24 jam. Paling kuat pun sampai jam 12 tengah malam sahaja. Ada juga kedai-kedai yang sudah tutup pada jam 10 malam. Jadi jika lapar, belilah roti, makanan segera, biskut untuk alas perut menjelang pagi.

13. Bagi korang yang nak booking bilik hotel, adalah lebih baik jika korang telefon dahulu hotel tu. Tanya adakah mereka sudah mula beroperasi sepenuhnya. Jika korang melalui agensi pelancongan atau memilih hotel yang bertaraf bintang, tidak ada masalah. Namun, jika korang seperti saya yang memilih tempat penginapan mampu milik seeloknya telefon dahulu. Ini kerana ada tempat penginapan yang sudah tidak beroperasi lagi atau baru hendak beroperasi semula. Bilik pun belum dibersihkan sepenuhnya. Jadi kena berwaspada.

Iklan

Baca juga Wajib Buat Test Covid-19 Sebelum Ke Langkawi Dalam 48 Jam, Ikuti 3 Cara Ini

14. Aktiviti-aktiviti pantai sudah dibenarkan. Jadi korang tak ada masalah untuk mandi-manda atau berlari-lari anak di pantai. Cuma pastikan ikuti SOP. Cuba jauhkan diri daripada berkumpul dengan orang-orang yang tidak dikenali. Pantai tu kan luas. Nak naik bot pergi pulau-pulau pun dah boleh tau.

15. Akhir sekali, saya juga ada berbual dengan beberapa pekerja yang mengakui sebenarnya mereka juga takut untuk menerima kehadiran pelancong. Tapi nak buat macam mana, kehidupan harus diteruskan. Nak tak nak kena belajar hidup dengan Covid-19 ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama membantu menjadikan projek perintis di Langkawi ini berjaya. Orang Langkawi sihat selamat, kita pun senang hati untuk berlibur, nanti ada rezeki boleh datang lagi.

Meen Tahrin yang berada di Langkawi