CERITA pelakon lama dipinggirkan oleh penerbit atau stesen televisyen adalah kisah yang acap kali menjadi sebutan dan perhatian.

Namun situasi itu bukan sahaja terjadi kepada bintang lama berpengalaman hebat dan berbakat besar, tetapi juga kepada pengarah otai.

Perkara itu diakui sendiri oleh figura yang pernah mendapat jolokan ‘pengarah air mata‘, Rashid Sibir.

Pernah mengarahkan karya-karya hebat sehingga memenangi trofi Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) 1997 dan terbaharu Pengarah Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2018 menerusi drama Pendosa Ingin Ke Syurga, Rashid cukup dikenali sebagai pengarah yang berjaya menyentuh hati penonton dan antara naskhahnya yang masih menjadi sebutan hingga kini adalah Pondok Buruk, Rumah Di Tengah Sawah, Quran Buruk serta Tanah Kubur.

Ikuti luahan Rashid mengenai nasib pengarah otai sepertinya pada masa kini.

 

Sinar Plus : Apa perkembangan terkini anda?

Rashid : Alhamdulillah, saya kini sedang sibuk dengan penggambaran drama 25 episod, Bidadari Kiriman Tuhan yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan nanti.

 

Bagaimana anda melihat situasi dunia pengarahan tempatan masa kini?

Jika anda peminat setia drama atau filem, anda pasti menyedari pengarah sama yang mengarahkan drama atau telefilem pada masa kini. Apa yang boleh saya katakan, stesen TV sudah mula menidakkan pengarah otai (mereka yang berusia 45 hingga 50 tahun ke atas).

Bukan mahu menuduh, saya faham peredaran masa membuatkan banyak pengarah baru menyertai dunia seni.

Bagaimanapun jika dibandingkan di luar negara, pengarah otai atau lama seperti James Cameron, Steven Spielberg masih disanjung tinggi dan sentuhan mereka juga mendapat kepercayaan ramai.

Senario itu berbeza di negara kita kerana pelakon dan pengarah otai mula dipinggirkan oleh penggiat di dalam industri sendiri.

RASHID SIBIR
Dunia pengarahan sudah sebati dengan jiwa Rashid Sibir.

Pada pandangan anda, apa perbezaan antara pengarah otai dan pengarah baru?

Iklan

Tentu sekali ada perbezaannya. Jika dahulu bila sesebuah drama meletup atau mendapat sambutan, orang akan sebut siapa pengarahnya. Tapi berbeza kini, bila sesebuah drama itu menjadi perhatian, orang hanya ingat pelakonnya.

Padahal yang menggerakkan sesebuah drama itu adalah pengarahnya, kemudian barulah pemain di dalam sesebuah karya tersebut.

Dari segi sentuhan juga berbeza, bagi saya kebanyakan orang lama atau saya sendiri, kami lebih mengutamakan moral dan mesej dalam sesebuah karya. Walau tanpa bersentuhan pun, emosi itu tetap sampai.

Bagaimanapun saya tidak pernah sesekali menidakkan kehebatan pengarah baharu. Mereka juga bagus dan ada idea baharu.

 

Iklan

Apa cadangan anda untuk menyelesaikan isu sebegini?

Beri peluang sama rata untuk pengarah otai membuktikan kehebatan mereka. Tiada yang lama, tiada yang baru. Apa salahnya stesen televisyen atau penerbit memberi peluang sama rata kepada pengarah dan pelakon otai. Tidaklah rupa dan perasaan menonton itu sama sahaja.

Kita idamkan sebuah karya yang mampu mara hingga ke peringkat antarabangsa, tetapi kalau yang lama, yang berpengalaman di pandang sepi, maka apa nasib industri pada masa akan datang?

Apa pun saya tetap berterima kasih kepada stesen yang masih memberikan

peluang untuk saya mengarah. Malah saya berharap akan lebih banyak stesen TV memberi peluang sama supaya drama kita akan lebih hidup, emosi, mantap dan berkualiti.