BIARPUN bukan beragama Islam, pelakon Jasmine Suraya tidak mahu ketinggalan untuk turut sama berpuasa di bulan Ramadan bagi menghormati rakan-rakan dan para peminatnya yang menjalani ibadah tersebut.

Menurut Jasmine, tahun ini merupakan kali kedua dia cuba untuk berpuasa dan semakin seronok untuk sama-sama menghadapi cabaran menahan diri daripada lapar dan dahaga.

“Ketika hari pertama berpuasa pada tahun lalu, memang agar sukar buat saya kerana tak biasa. Tapi atas sokongan kawan-kawan, saya berjaya lakukan walaupun hanya untuk beberapa hari.

“Jadi tahun ini saya teruskan berpuasa dan kali ini ia jadi lebih mudah kerana pernah ada pengalaman. Cuma saya susah nak tahan dahaga berbanding menahan lapar menyebabkan saya kadang-kadang tak meneruskan puasa hanya kerana seteguk air.

“Apa pun, saya mula rasa seronok berpuasa. Bayangkan kita tak makan sepanjang hari dan bila berbuka puasa kita dapat rasa nikmat makanannya jadi sangat berbeza,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut pemilik nama sebenar Jasmine Suraya Chin, 31, berpuasa sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi cabaran yang berbeza buatnya.

“Dulu masa bulan puasa saya sibuk dengan kerja dan tak rasa masa berjalan dan sedar-sedar sahaja dah boleh pergi beli makanan kat bazaar untuk berbuka.

“Sekarang ini duduk rumah sahaja tak boleh keluar mana dan rasa masa sangat panjang. Makanan pun masak sendiri untuk berbuka.

“Dulu saya puasa hanya untuk suka-suka saja, tapi sekarang saya buat sebab bagi saya puasa memang baik untuk kesihatan,” kata gadis berketurunan Cina ini lagi.

Anggap PKP ruang perbaiki kekurangan diri

Berkongsi aktiviti sepanjang PKP yang berlangsung selama hampir dua bulan, kata Jasmine, dia mengambil kesempatan tersebut untuk berehat dan melakukan aktiviti-aktiviti yang selama ini tidak dapat dilakukan kerana kesibukan kerja.

Biarpun hanya berada di rumah, anak kelahiran Sarawak ini mengambil inisiatif untuk belajar bahasa Mandarin dan seni lakonan menerusi pembelajaran kelas secara atas talian.

“Sebenarnya sepanjang PKP, saya selalu tidur lewat dan bangun lewat kerana macam-macam aktiviti yang saya lakukan setiap hari.

“Saya mengambil kelas bahasa Mandarin dan kelas lakonan secara atas talian untuk memperbaiki kekurangan dan menambah ilmu sebanyak yang mungkin.

“Selain melayan drama Korea kegemaran, saya juga banyak mengisi masa dengan membaca buku termasuk novel-novel Melayu untuk memperbaiki penguasaan bahasa Melayu saya selama ini yang masih kurang memuaskan,” katanya yang dikenali menerusi filem Paskal.

Menyentuh perkembangan kerjaya seninya, kata Jasmine, biarpun banyak kerja lakonannya tertangguh disebabkan PKP, dia sentiasa positif dan percaya keadaan akan kembali pulih meskipun mengambil sedikit masa.

Iklan

“Ketika PKP diumumkan, saya terlibat dengan tiga buah projek drama. Salah satunya terpaksa dihentikan penggambaran, sementara dua lagi ditangguhkan.

“Begitu juga dengan sebuah filem bersama pengarah dari Hong Kong yang sepatutnya menjalani penggambaran di Bangkok, Thailand terpaksa dilupakan buat seketika.

“Apa pun, kerja-kerja berkaitan kempen dan jurucakap beberapa produk yang saya wakili masih berjalan seperti biasa, cuma ia dilakukan dari rumah,” katanya.

Meski ramai antara rakan-rakan seperjuangannya dalam industri yang kini mula mencari inisiatif mencari pendapatan lain dengan menceburi bidang perniagaan disebabkan kerja seni tidak dapat dijalankan, Jasmine mempunyai perancangannya sendiri.

Iklan

“Sebelum ini saya pernah ada perancangan untuk membuka perniagaan makanan bersama seorang rakan, namun disebabkan krisis pandemik Covid-19 ini hasrat itu saya tangguhkan dulu.

“Masa sekarang saya gunakan sebaiknya untuk fokus dan buat persediaan menjadi seorang pelakon yang baik dengan tambah ilmu.

“Mungkin kelebihannya tidak dapat dilihat pada masa sekarang, tetapi ia penting untuk kerjaya saya pada masa hadapan,” tegasnya.

 

(FOTO: Intsgram Jasmine Suraya)