GENERASI muda memang sinonim dengan aktiviti sukan air seperti berakit sambil meredah jeram atau white water rafting. Lazimnya, tahap kederasan yang berbeza-beza akan memberikan pengalaman berakit yang berlainan.

Kepada yang kuat dari aspek fizikal dan mental, satu atau tiga jam berada di arus yang deras bukan satu masalah besar.

Pengurus White Water Rafting di Gopeng, Perak yang mahu dikenali sebagai Fong berkata, mereka yang tidak tahu berenang juga bukan satu masalah untuk menyertai sukan lasak itu.

FONG (kanan), yang sudah 15 tahun mengurus aktiviti sukan air berakit sambil meredah jeram di Gopeng.

Katanya, pihak penganjur lazimnya akan menyediakan latihan keyakinan dalam air selain menyediakan jaket keselamatan, helmet, pendayung termasuk seorang pakar atau pengemudi rakit yang akan berada bersama-sama peserta ketika berakit.

Dalam satu rakit, biasanya boleh memuatkan enam hingga lapan orang.

“Rakit akan digerakkan dengan menggunakan pendayung menyusuri sungai dan diajak mencabar diri mengharungi jeram-jeram sungai yang deras. Itu gambaran mudah ketika melakukan aktiviti berakit,” katanya yang telah 15 tahun mengemudi sukan air kegemaran ramai itu.

Ujar Fong lagi, Sungai Gopeng atau Sungai Itek merupakan lokasi menarik untuk diterokai, ditambah pula dengan lokasinya yang strategik iaitu lebih kurang 30 minit dari Ipoh dan dua jam dari Kuala Lumpur.

“Di sini, seramai 10 orang pekerja akan ditugaskan dalam satu-satu masa. Antara kemudahan-kemudahan lain yang disediakan di sana adalah bilik persalinan, tempat berkhemah dan tempat bermesyuarat khusus buat mereka yang ingin melakukan aktiviti berkumpulan seperti kursus pembinaan jati diri,” ujarnya.

Selain berakit, Fong berkata, orang ramai turut boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik lain antaranya merentas hutan ke Bukit Batu Putih dan mendaki Gua Tempurung.

  • Lokasi: Sungai Itek@Sungai Gopeng, Gopeng, Perak (Gred 1-4)
  • Pakej harga termasuk makan tengah hari (masakan kampung) dan pengemudi:  RM125 seorang
  • Durasi: 3-4 jam
  • Jarak: 7 kilometer
  • Facebook: White Water Rafting, River Rafting Malaysia
  • Laman web: www.malaysia-adventuretours.com

Panduan menyertai berakit sambil meredah jeram:

  • Buat tempahan awal.
  • Bawa pakaian sukan yang boleh dibasahkan selain beg kalis air dan kasut. Jangan berseluar pendek.
  • Jangan panik jika berhadapan situasi yang tidak dijangkakan seperti melihat air yang sangat deras terutamanya mereka yang baru kali pertama mencuba aktiviti lasak itu.

BERAKIT meredah jeram  sudah menjadi satu trend sukan lasak pada masa kini.

Iklan

Nikmati keindahan flora dan fauna yang wujud sejak beratus-ratus tahun lamanya sepanjang berakit semestinya satu pengalaman yang mengujakan.

Berkemungkinan sebelum ini ramai yang berhajat ingin melakukan aktiviti berkenaan tetapi tidak tahu di mana lokasinya. Buat pencinta sukan ekstrem, berikut SinarPlus senaraikan lokasi-lakasi terbaik di sekitar Malaysia yang boleh dicuba:

  1. Kuala Kubu Bharu, Selangor (Gred 2-4)

Iklan
  • Pakej harga termasuk makan tengah hari, air mineral, snek, pengemudi dan peralatan (minimum 5 pax): RM175 seorang
  • Durasi: 3-4 jam
  • Jarak: 7 kilometer
  • Facebook: Whitewater Rafting Kuala Kubu Bharu Selangor
  • Laman web: www.malaysia-whitewater-rafting.com
  1. Ulu Slim, Slim River, Perak (Gred 3-4)

  • Pakej harga termasuk makan tengah hari, pengemudi dan peralatan (minimum 5 pax): RM150 seorang
  • Durasi: 3 jam
  • Jarak: 7 kilometer
  • Facebook: White Water Rafting Ulu Slim Perak
  1. Sungai Kiulu, Kota Kinabalu (Gred 2-3)

  • Pakej harga termasuk perlindungan insurans, makan tengah hari, loker, pengemudi dan pengangkutan (minimum 5 pax): RM190 seorang
  • Durasi:  2-3 jam
  • Jarak: 7 kilometer
  • Facebook: Kiulu & Padas River Rafting
  • Laman web: www.riverbug.asia
  1. Sungai Sedim, Kedah (Gred 1-4)

  • Pakej harga termasuk sijil, peralatan, pengemudi, pengangkutan, gambar dan video (minimum 6 pax): RM220 seorang
  • Durasi: 1 jam 30 minit
  • Jarak: 2.5 kilometer
  • Facebook: Sungai Sedim Advanture