PAHANG merupakan salah satu negeri yang memiliki kriteria yang diperlukan oleh seorang pelancong. Sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia dan memiliki 11 daerah, pastinya Pahang mempunyai pelbagai destinasi yang menarik untuk diterokai.

Baru-baru ini, SinarPlus dipelawa menyertai Program Eksplorasi Pahang bersama Kedutaan ASEAN dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kuantan anjuran Tourism Malaysia.

Antara delegasi ASEAN yang turut serta adalah dari Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, Laos, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja.

BARISAN delegasi ASEAN yang menyertai Program Eksplorasi Pahang bersama Kedutaan ASEAN dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kuantan anjuran Tourism Malaysia, baru-baru ini.

Itinerari dimulakan dengan membawa rombongan ke Kompleks Serambi Teruntum yang merupakan salah satu ikon pelancongan baharu di Kuantan.

Selain memperkenalkan makanan tradisional Pahang seperti Puding Raja dan sambal hitam, kompleks berkenaan dijadikan medan untuk menonjolkan seni halus masyarakat Pahang seperti hasil kraftangan, batik, songket dan tekstil.

Alunan lagu Dia Datang yang melatari suasana pada pagi itu dimeriahkan lagi dengan percubaan beberapa duta dan pesuruhjaya tinggi memasak kulinari tradisi. Ada sesetengahnya memilih untuk mencanting batik, menari tarian tradisional dan bermain congkak.

DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dan isterinya mengacau dodol do Kompleks Serambi Teruntum.

Agenda kemudian diteruskan dengan mengelilingi Sungai Kuantan dengan menaiki bot Kuantan River Cruise.

Perjalanan membawa para kenamaan ke lima lokasi iaitu Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, kawasan pembiakan kelip-kelip, Jambatan Tanjung Lumpur, kawasan pokok bakau sebelum berakhir di muara sungai Laut China Selatan.

Ahli rombongan turut dibawa melawat Menara Kuantan 188 yang merupakan menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur.

Menerusi dek tontonan menara yang terletak 92 meter dari atas tanah, pemandangan 360 darjah bandar Kuantan dan Sungai Kuantan yang mempesonakan dapat dilihat secara jelas.

MENARA Kuantan 188 turut menawarkan aktiviti skywalk.

Duta Kemboja, Cheuy Vichet; Duta Brunei, Datuk Mahmud Saidin dan Duta Vietnam, Dr Tran Viet Thai diberi tepukan gemuruh apabila menonjolkan keberanian masing-masing dengan melakukan aktiviti skywalk di ruang tinjau menara.

Ikan patin yang sinonim dengan negeri Pahang juga dijamu kepada mereka.

Dalam pada itu, isteri Duta Kemboja, Chan Somphosneary berkata, kunjungan ke bandar raya Kuantan sangat mengujakan.

SOMPHOSNEARY (dua dari kiri) mencuba tarian tradisional Joget Pahang.

Tidak hanya terpukau dengan adat, budaya dan adat masyarakat tempatan yang unik pada pandangannya, beliau juga terpukau dengan keindahan pantai dan hospitaliti hotel yang begitu baik.

“Semestinya saya akan ajak anak-anak dan keluarga untuk berkunjung ke negeri ini lagi untuk bercuti,” ujarnya.

BEBERAPA isteri delegasi sedang menikmati keenakan Sambal Hitam Belimbing ketika berada di Kompleks Serambi Teruntum.

Terdahulu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, tujuan program itu dianjurkan adalah untuk memperkenalkan destinasi pelancongan menarik di Kuantan kepada semua duta dan pesuruhjaya tinggi yang dijemput.

“Ini kali pertama kami membawa mereka melawat kawasan tarikan di Malaysia. Sebelumnya, Tourism Malaysia hanya membawa media dari negara luar untuk mempromosikan keunikan sesebuah tempat,” katanya.

Baca juga: MOTAC lancar lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua, pelan pemulihan pelancongan 2022

KEPADA anda yang mungkin dalam perancangan untuk bercuti, Pahang merupakan antara negeri yang terbaik untuk dilawati.

Pemilihan beberapa destinasi menarik yang diatur oleh Tourism Malaysia sempena Program Eksplorasi Pahang bersama Duta ASEAN dan Pesuruhjaya Tinggi baru-baru ini sememangnya ideal untuk dicontohi.

Berikut SinarPlus perincikan lagi butiran destinasi-destinasi tersebut:

Kuantan River Cruise

Iklan

Alamat: Jeti Shah Bandar, Jalan Tanah Putih, 25100 Kuantan, Pahang
Facebook: Kuantan River Cruise
Instagram: Kuantan River Cruise
Laman web: www.kuantanrivercruise.com

Antara tarikan:
– Menikmati panorama malam Sungai Kuantan
– Melihat keindahan hutan paya bakau
– Melihat buaya dan kelip-kelip pada waktu malam

Menara Kuantan 188

Alamat: Jalan Besar, 25050 Kuantan, Pahang
Facebook: Kuantan River Cruise
Instagram: Kuantan 188
Laman web: www.kuantan188.com.my

Antara tarikan:
– Menjamu selera di restoran pada ketinggian 98 meter
– Pakej sambutan ulang tahun
– Memiliki dek pemerhatian terbuka, jejantas udara dan pelantar terjunan berpandu dari aras 104 meter (m).
– Pendakian tiang pada ketinggian 160m di puncak keluli setinggi 66m.

Iklan

Kompleks Serambi Teruntum

kredit foto: negeripahang.com

Alamat: Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang
Facebook: Serambi Teruntum Kuantan
Laman web: https://serambiteruntum.wixsite.com/website

Antara tarikan:
– Persembahan kebudayaan seperti pertunjukan gendang
– Jualan kraftangan
– Kelas membuat kuih tradisi

Baca juga: Sasar 2 juta pelancong asing sempena kempen Cuti-Cuti Malaysia 2022, Tourism Malaysia dan Expedia Group tumpu 3 pasaran global

Kredit foto: Rafiq Redzuan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.