PERCAYA atau tidak, masih terdapat perkampungan Melayu asli yang tersergam indah dengan seni ukiran tradisional di bandaraya bersejarah, Melaka.

Ya! Seni bina unik pada bumbung, tingkap waima tangga rumah mampu membuatkan nama Kampung Morten sentiasa menjadi sebutan ramai.

Mana tidaknya, perkampungan tradisional itu antara destinasi wajib singgah jika berkunjung ke bandaraya Hang Tuah tersebut.

kampung morten

Bagi mereka yang pernah merentasi Sungai Melaka, pasti tidak ketinggalan untuk melihat ‘muzium hidup’ yang diberi nama sempena Pesuruhjaya Tanah Inggeris ketika itu, Frederick Joseph Morten.

Perkongsian Tourism Malaysia dalam Facebook juga berkongsi info menarik mengenai kampung tradisi yang terletak di pinggir Sungai Melaka dan masih wujud sehingga sekarang.

Tulis Tourism Malaysia, masih terdapat 85 kediaman termasuk 52 rumah tradisional Melaka di perkampungan tersebut untuk dikunjungi orang ramai.

kampung morten

Asalnya, kampung tersebut terletak di kawasan paya yang dikelilingi hutan pokok nipah dan seni bina dan ukiran yang masih utuh melambangkan gaya hidup masyarakat Melayu terdahulu.

Bagi mereka yang teringin untuk merasai hidup di perkampungan Melayu Morten tersebut, jangan lepaskan tawaran untuk menyewa rumah asli yang disediakan.

Baca juga Twitter umum pemenang Anugerah #BestofTweets 2021 Malaysia, iktiraf jenama yang melakarkan impak terbesar tahun ini

Satu rumah dianggarkan bermula RM500 semalam dan boleh memuatkan kapasiti hingga 12 orang.

Menarikkan? Apatah lagi, Tourism Malaysia turut mempromosikan 150 pakej yang ditawarkan 60 pengusaha inap desa di seluruh negara.

kampung morten

Pastinya, diskaun sebanyak 50 peratus yang ditawarkan tersebut jangan dilepaskan bagi mereka yang merancang untuk bercuti di perkampungan Melayu asli sekali gus mengimbau nostalgia lama.

Berikut lima info menarik mengenai Kampung Morten yang dikongsikan rumahwarisanibrahimhashimvillasentosa.blogspot.com:

  1. Perkampungan Melayu itu memiliki keluasan 4.8 hektar.
  2. Asalnya dihuni lebih kurang 600 penduduk.
  3. Kampung tersebut asalnya diterokai Datuk Othman Md Nor pada tahun 1922 dan dilantik menjadi ketua kampung pada tahun yang sama.
  4. Antara nama asal yang dicadangkan untuk kampung itu antaranya Kampung Bunga dan Kampung Tanjung Bunga.
  5. Tiga lorong di kampung berkenaan juga dinamakan sempena individu penting ketika itu, Jalan Dato Othman, Jalan Dato Hamid dan Jalan Sidang Said.

kampung morten

Iklan

Bandaraya Melaka yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sainstifik dan Kebudayaan (UNESCO) itu menjadi satu kebanggaan buat negara.

Selain Kampung Morten, masih banyak lagi destinasi bersejarah yang boleh dikunjungi bersama keluarga untuk aktiviti staycation di sana.

Baca juga Masih kekalkan rumah limas Johor dan Melaka guna tanggam, Trata` Leka imbau nostalgia lama

Antara lokasi pelancongan yang wajib singgah iaitu Masjid Tengkera yang berusia lebih 300 tahun, Demang Abdul Ghani Gallery, House of Museums Malacca dan Masjid Kampung Hulu yang dibina pada tahun 1728.

Pun begitu, baru-baru ini musibah banjir melanda perkampungan Morten tersebut akibat hujan lebat berterusan dan pertembungan air pasang.

kampung morten

Iklan

Laporan media tempatan menunjukkan beberapa rumah di tepi sungai dinaiki air, malah jalan masuk ke kampung itu juga dikatakan ‘tenggelam’.

Lapor Sinar Harian, seramai 1,225 mangsa terpaksa dipindahkan ke 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh Melaka selepas kediaman penduduk dilanda banjir.

Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatat tahap bahaya dengan trend menaik.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sementara itu, Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah mencatat tahap bahaya tetapi dengan trend menurun, manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin pula mencatat tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.

Moga musibah bah disebabkan limpahan sungai yang melanda perkampungan Melayu asli tersebut diharapkan tidak menjejaskan eko pelancongan di Melaka.