SEKALI sekala bercuti dengan cara lebih unik amat menyeronokkan. Pada minggu ini, penulis ingin memberi idea kepada pembaca SinarPlus untuk bercuti di rumah rakit.

Ya, memang ia tidaklah terlalu selesa seperti menginap di kamar hotel lima bintang.

Namun, sekurang-kurangnya pendekatan sebegitu membawakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Di mana lokasi terbaik untuk berbuat demikian? Jawapannya adalah di Jojo Rakit yang terletak di Kampung Tanjung Buai, Telok Sengat, Johor.

rumah rakit

Berdasarkan komentar pelanggan yang pernah singgah ke destinasi berkenaan, rumah rakit terapung yang dibina sejak 2006 itu merupakan lokasi menarik untuk kaki pancing yang mahu melepaskan ketagihan memancing.

Pada masa sama, kondisi dan ruang yang disediakan memang mesra dengan ahli keluarga yang ramai.

Pengurus Jojo Rakit, Warhamni Wahdini Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, rumah rakit di premisnya dipasang dengan 14 sauh.

Selain mempunyai kemudahan air bersih dan elektrik, ia memiliki 15 jenis bilik yang disewakan pada harga yang cukup berpatutan.

“Bagi pengunjung yang datang secara solo, bilik bujang ditawarkan pada harga bermula RM70, manakala bagi yang berkeluarga, bilik yang luas dan selesa, lengkap dengan kemudahan bilik air serta pendingin hawa ditawarkan pada harga RM200 semalam.

rumah rakit

“Kebanyakan pengunjung yang datang ke sini suka menghabiskan masa memancing bersama famili masing-masing. Bagi mereka yang mahu masak sendiri, kemudahan tempat memasak disediakan atau boleh saja membeli sajian yang dijual di atas rumah rakit ini,” ujarnya kepada SinarPlus.

Lebih menyeronokkan, khas untuk pengunjung cilik, mereka boleh bermain di tapak permainan dan kolam yang disediakan.

Kepada para ibu yang mungkin bosan menanti si suami sedang memancing, mereka boleh ‘menguji suara’ di pusat karaoke secara suka-suka di situ.

rumah rakit

“Dengan aktiviti-aktiviti seperti itu, si ayah yang sibuk memancing tidak akan terganggu dan boleh fokus menangkap ikan.

“Inilah situasi ‘menang-menang’ yang cuba kami tonjolkan untuk pengunjung,” kata pengusaha wanita berusia 33 tahun itu yang mengusahakan Jojo Rakit bersama suami tersayang, Syed Ben Bella Al Habshee, 56.

Terlebih dulu kata Warhamni Wahdini, rumah rakit yang boleh memuatkan lebih kurang 200 orang dalam satu-satu masa itu, asalnya hanya ada lima buah bilik.

rumah rakit

Premis berkenaan kemudian telah ditambah baik selepas mendapat sambutan menggalakkan, ujarnya.

“Konsep rumah rakit yang diberi nafas baharu dicetuskan daripada idea suami saya yang mahu membuat kelainan. Lagipun, kami berdua sangat sukakan laut. Laut cukup memberikan ketenangan.

“Saya lihat para pelanggan setia kami juga rasakan perasaan yang sama. Biasanya kalau sudah sekali singgah, mereka akan datang lagi terutama pada musim cuti sekolah,” tutur anak jati Tanjung Buai tersebut.

rumah rakit

Bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari Singapura, keunikan Jojo Rakit turut tular dalam media sosial.

Kepada anda yang berminat bercuti di rumah rakit milik pasangan suami isteri berkenaan, jangan lepaskan promosi menarik yang sedang ditawarkan sekarang.

Baca juga Rumah tradisi 200 tahun menjadi tumpuan dunia, padanlah vila warisan ini tersenarai destinasi wajib singgah di Langkawi

Untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas (60 tahun ke atas) tidak dikenakan caj untuk kos pengangkutan, kemudahan atas rakit, barbeku, mahupun karaoke.

Pun begitu, pakej bilik masih sama ditawarkan bermula RM70 sahaja.

rumah rakit

Jojo Rakit

  • Alamat: Kampung Tanjung Buai, Telok Sengat, Johor.
  • Pakej: Bermula RM70
  • Facebook: Chalet Jojo Rakit
  • Instagram: @chaletjojorakit

Selain Jojo Rakit di Johor, terdapat beberapa lagi lokasi menarik yang menawarkan percutian di rumah rakit.

Destinasi sebegitu bukan sahaja seronok untuk memancing, malah ideal untuk bercuti bersama ahli keluarga tercinta.

Untuk itu, SinarPlus mencadangkan empat lagi lokasi menarik untuk anda singgah jika berpeluang.

rumah rakit

Kong Kong Chalet Terapung Pasir Gudang

  • Alamat: Pasir Gudang, Masai, Johor
  • Pakej: Bermula RM129
  • Facebook: Kong Kong Chalet Terapung Pasir Gudang
  • Instagram: @kongkongchaletterapungpasirgudang

rumah rakit

Rumah Rakit Hobbit Sekroy

  • Alamat: Jeti Nelayan Besar, Bagan Lalang, Sepang, Selangor
  • Pakej: Bermula RM200
  • Facebook: Rumah Rakit Hobbit Sekroy

rumah rakit

Rumah Rakit Kak Siti

  • Alamat: Kampung Pangsenam, Temerloh, Pahang
  • Pakej: Bermula RM200
  • Facebook: Rumah Rakit Kak Siti
  • Instagram: @rrks2020

Jangan lupa follow kami di Instagram!

rumah rakit

Rumah Rakit Bagan Lalang

  • Alamat: Muara Sungai Sepang Besar, Sepang, Selangor
  • Facebook: Rumah Rakit Bagan Lalang
  • Instagram: @baganlalang1986