SEPERTI berada dalam filem The Lord of the Rings dan itu yang dapat dirasai anda jika berkunjung ke Muzium Ilusi, Kuala Lumpur (MOIKL) yang menghadirkan magis serta buat ramai kagum.

Berkonsepkan muzium interaktif, ia menawarkan visual ilusi yang memukau, di samping disuntik elemen pendidikan yang bukan sahaja sesuai untuk pelajar sekolah, malah kita yang dewasa ini.

SinarPlus difahamkan, Muzium Illusi ini direka khas berdasarkan ilmu sains, biologi, matematik dan psikologi.

Apabila anda memasuki beberapa ruang di muzim berkenaan, pelbagai perkara boleh dipelajari.

Antaranya tentang hal berkitan sel-sel otak manusia, persepsi dan konten sains yang sememangnya sangat luas.

Untuk pengetahuan semua, Muzium Ilusi dibuka semula kepada orang ramai selepas dua tahun mereka menghentikan operasi akibat pandemik.

Sempena pembukaan semula, susun atur pameran diberi nafas baharu dan lebih unik!

Bercakap mengenai tentang filem The Lord of the Rings tadi, untuk rasai pengalamannya, kalian diminta memasuki pameran Bilik Ames.

Di sana, sebaik menjengah ke dalam set, anda akan kelihatan kerdil seperti Hobbit dan Dwarf.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Jualan, MOIKL, Stanley Ng Kar Hoong, MOIKL yang baharu ini akan memberi satu kepuasan kerana beberapa pertunjukan yang bakal ditampilkan akan membuat pengunjung terpukau.

“Muzium ini merupakan satu-satunya tempat yang menawarkan pengalaman deria buat semua rakyat Malaysia. Ia sesuai untuk aktiviti pembinaan kumpulan, lawatan sekolah dan pelancaran jenama,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Projek, MOIKL, Ana Jakovac berkata muzium itu dibina bukan sekadar ingin membuatkan pengunjung teruja, tetapi secara tidak langsung untuk mendidik.

“Kami ingin mempelawa para tetamu untuk mengetahui cara-cara dan terokai bagaimana otak kita berfungsi apabila melihat ilusi itu.

“Kami ingin menarik minat rakyat Malaysia untuk mengubah persepsi dan tunjuk bahawa tidak semua yang dilihat dengan mata kasar itu adalah betul,” katanya.

Terdapat 50 pameran akan membuatkan kalian kagum, mendatangkan kekeliruan dan menimbulkan banyak tanda tanya.

Ya lah, seperti yang diperkatakan tadi, mungkin selama ini kita tak memahami sesuatu kalau kita lihat daripada pandangan mata kasar, tetapi di Muzium Ilusi akan lebih faham dan nampak.

VORTEX TUNNEL

Iklan

Apa yang SinarPlus boleh katakan, tarikan paling utama yang best ialah di Vortex Tunnel.

Masakan tidak, saat anda melangkah melalui terowong itu, terasa seperti lantai sedang bergerak dan berpusing sedangkan tiada sebarang pergerakan berlaku.

Seterusnya, Infinity Room iaitu pameran dalam satu ruang istimewa yang direka khas hanya menggunakan cermin.

Hasil daripada binaan itu membuatkan anda berasa di ruangan yang tidak berpenghujung dan begitu luas (infiniti).

Difahamkan, hanya 37 buah muzium ilusi dibina di seluruh dunia. Antaranya di New York dan Chicago, Amerika Syarikat; Paris, Perancis; Madrid, Sepanyol; Vienna, Australia dan Istanbul, Turki.

Iklan

Setiap muzium direka dengan dilengkapi merangkumi bilik silap mata, ilusi optik dan bilik permainan yang dilengkapi dengan permainan yang bersifat didaktik dan teka-teki.

Kepada kalian yang ingin mencuba pengalaman ilusi optik boleh ke laman web museumofillusions.my untuk menempah tiket.

Apa lagi, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Pada hujung minggu ini, apa kata bawa anak-anak pergi, daripada terperuk main game, baik ke muzium yang penuh imaginasi dan menyeronokkan ini.

Baca juga: Sentuhan dunia magis yang mengagumkan dalam Marvel Studio’s Doctor Strange In The Multiverse of Madness

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan