SEBUT sahaja mengenai Perak, pasti ramai membayangkan keunikan labu sayong dan tembikar buatan tangan orang kampung yang menjadi ikonik pelancongan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia itu.

Lebih menarik, negeri seluas 21,000 kilometer persegi itu sebenarnya memiliki permata tersembunyi yang wajib diterokai khususnya di sekitar daerah Hilir Perak dan Perak Tengah, meliputi kawasan Bagan Datuk, Teluk Intan, Sungai Manik termasuk di Kampung Gajah.

Baru- baru ini, seramai 19 pengamal media diberi peluang untuk mengikuti Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia: Getaway To Perak dan berkampung selama empat hari tiga malam bagi menerokai keistimewaan dua daerah tersebut.

Para peserta memulakan pengembaraan dengan menghayati keindahan panorama laut persis Salar de Uyuni di Sky Mirror di Beting Beras Basah, Bagan Datuk.

perak
MEMUKAU. Aksi peserta Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia di Sky Mirror Beting Beras Basah, Bagan Datuk, Perak dengan pemandangan persis Salar de Uyuni di Bolivia.

Tarikan unik di perairan hilir Perak yang menghadap Selat Melaka itu sekali gus mempromosikan lagi nama Bagan Datuk yang menjadi salah satu lokasi penting bagi penyempurnaan Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Selepas puas berswafoto, delegasi kemudian dibawa melawat Ladang Bunga Matahari di Bagan Sungai Burung.

Baca juga Permata tersembunyi di Langkawi, masih terdapat destinasi geopark purba yang ramai orang tak tahu

Di Teluk Intan, para peserta dibawa menelusuri Jejak Warisan Teluk Intan dengan aktiviti berbasikal mengelilingi Stesen Keretapi Lama, Batu Bertenggek Teluk Intan, Mahkamah Lama Teluk Intan dan Menara Condong Teluk Intan.

perak
ANTARA lokasi persinggahan peserta Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia di hadapan Bangunan Mahkamah Lama, Teluk Intan.

Untuk pengetahuan semua, aktiviti berbasikal menggunakan perkhidmatan CycleDios merupakan produk pelancongan terbaharu di Teluk Intan.

Selesai melakukan aktiviti menyeronokkan tersebut, beberapa pengamal media menunjukkan skil memancing udang galah di Sungai Perak sebelum dibawa melawat Ladang MOCCIS Sdn Bhd.

Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana, Ladang MOCCIS mempunyai tarikan zoo mini dengan pelbagai haiwan jinak, aktiviti berkayak termasuk berbasikal di sekeliling tasik.

perak
KENANGAN. Peserta sempat bergambar bersama basikal Cycledeos di hadapan Menara Condong Teluk Intan.

KEMBALI MELANCONG

Penat berjalan, perut diisi pula dengan keenakan mi rebus dan rojak yang cukup popular di Restoran Mastan Ghani sebelum menaiki river cruise untuk menyaksikan matahari terbenam, kelip-kelip dan kepelbagaian spesies burung di Pulau Bangau.

Itinerari kemudian diteruskan di Sungai Manik untuk melihat dengan lebih dekat perusahaan kecil dan sederhana seperti pembuatan biskut kacang dan kacang tumbuk di Aryza Suri Cekal Enterprise.

perak
TAKLIMAT ringkas di Jeti Sungai Teluk Intan sebelum memulakan aktiviti memancing udang galah di Sungai Perak.

Di Kampung Gajah, pengamal media dapat menyaksikan proses pembuatan labu dan tembikar di Kampung Tanjung Bidara serta perusahaan Dodol Opah Yang di Kampung Empai, Pulau Tiga.

Edisi kali ini turut diserikan dengan penganjuran Sesi Ramah Mesra Media bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab.

Iklan

Baca juga 10 bazar Ramadan terbaik di Selangor wajib singgah, nombor 1 memang legend

Bercakap mengenai program itu, Zainuddin berharap jalinan kerjasama pihak media dapat mempromosikan produk pelancongan yang memfokuskan generasi milenial dengan kombinasi media baharu.

perak
KENANGAN. Peserta bergambar bersama EXCO Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Yang Dipertua MP Teluk Intan, Ismail Ibrahim.

“Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia ialah program yang diberikan nafas baharu bagi menggantikan Ekspresi Media terdahulu. Melalui program ini, kita mahu mempromosikan produk dan destinasi pelancongan dari sudut pandang berbeza.

“Apabila media dibawa merasai pengalaman produk pelancongan yang ingin diperkenalkan dalam norma baharu, kita berharap hasil publisiti program ini akan dapat merancakkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan,” katanya.

Baca juga Mahu ketenangan, kita singgah ke kawasan air terjun. Perlukan privasi, jom kita glamping

Iklan

Program tersebut juga bertujuan untuk mengembalikan keyakinan rakyat untuk kembali melancong seiring persiapan menuju fasa peralihan endemik susulan pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 April lalu.

perak
MENARIK. Peserta Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia berpeluang mendekati haiwan jinak di Ladang Ternakan Rusa MOCCIS.

Program yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan turut memfokuskan destinasi tersembunyi, produk minat khas (niche products), warisan, gastronomi serta pelancongan berasaskan komuniti.

Justeru, sekiranya kalian merancang untuk bercuti bersama keluarga, sanak-saudara mahupun kenalan rapat, jadikan negeri Perak sebagai destinasi pilihan utama!

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI