MESKIPUN sedang menunggu keputusan mahkamah untuk menentukan status perkahwinannya dengan isteri, Noor Nabila Mohd Noor, pelakon Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa syukur kini dapat berjumpa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada anak tunggalnya, Jebat Jayden.

Sharnaaz yang ditemui ketila pelancaran cawangan ketiga cafe BubbleBee di Danau Kota, Setapak pada Khamis mengakui keutamaannya kini kepada anak dan kini berasa bahagia apabila dapat bertemu anak tunggalnya itu setiap hari.

“Saya akan jumpa anak tiga kali sehari iaitu pada sebelah pagi, petang dan malam. Walaupun nampak macam penat dengan rutin begitu, tapi saya kini sudah terbiasa.

“Saya tak pernah anggap sebagai beban, sebaliknya saya bersyukur sangat kerana dapat jumpa anak. Kalau saya terlibat dengan penggambaran, saya akan hubungi anak menerusi panggilan video,” ujarnya kepada SinarPlus.

Menurut Sharnaaz lagi, sebagai bapa, dia sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan anaknya itu mendapat yang terbaik.

“Saya mahu membesarkan anak dengan sebaik yang mungkin. Saya berikan kasih sayang dan apa yang saya mampu buat sebagai seorang bapa.

“Sebelum ini saya ada masalah untuk jumpa anak, sekarang apabila saya kembali diberikan hak itu, saya sangat hargai dan ia anggap satu rahmat yang besar.

“Saya menghormati dan sangat berterima kasih kepada Nabila kerana menjadi ibu yang baik serta membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. Itu saya tak boleh nafikan,” jelasnya.

Iklan

Mengulas tentang hubungan dengan Nabila, kata bintang Polis Evo 3 itu lagi, mereka kita baik sebagai seorang kawan.

“Kami belum bercerai tetapi status perkahwinan akan ditentukan mahkamah tidak lama lagi dan saya reda dengan apa sahaja keputusan.

“Hubungan saya dengan Nabila kini sebagai kawan yang bersama-sama membesarkan anak kami.

Iklan

“Perkahwinan kini dah jatuh nombor dua pada saya berbanding anak yang kini menjadi keutamaan dan fokus saya,” akuinya.

Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia setahun lebih.