JUTAWAN Britain, Sir James Dyson dilapor mengalami kerugian sebanyak £500 juta (RM2.6 bilion) apabila mengambil keputusan untuk menghentikan projek kereta elektriknya.

Syarikat teknologi Dyson menubuhkan divisyen Dyson Automotive dengan penglibatan seramai 500 orang kakitangan dan komited untuk melabur sebanyak £2.5 bilion (RM13.3 bilion) ke dalam pelbagai teknologi termasuklah projek kereta elektrik.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh Portal permotoran tempatan, Mekanika, projek yang bermula pada 2014 itu bagaimanapun dibatalkan pada sekitar Oktober tahun lalu.

Seperti apa yang dirancang, ia dijadual akan dilancarkan dan dipasarkan secara rasmi tahun hadapan namun, Dyson menyifatkan kereta elektrik itu tidak menguntungkan untuk dijual.

Dyson dan keluarganya mengungguli senarai Sunday Times Rich List 2020 dengan memiliki kekayaan sekitar £16.2 bilion (RM86.3 bilion), naik £3.6 bilion (RM19.1 bilion) berbanding tahun 2019.

Dalam temuramah dengan akhbar tersebut, Dyson mendedahkan sedikit perincian mengenai kenderaan elektriknya yang sudah sampai ke peringkat prototaip.

SUV elektrik dengan kod nama N526 itu menawarkan jarak sejauh 965km sekali caj.

Iklan

Menggunakan kotak gear automatik 7-kelajuan, ia mampu memecut dari 0-100kilometer(km)/jam dalam masa hanya 4.8 saat dengan kelajuan maksimum 201km/jam.

Jentera itu juga didakwa berupaya menjana kuasa 536hp dan tork 649Nm daripada dua unit motor elektrik.

Iklan

Dyson mengakui pihaknya sangat kecewa kerana gagal merealisasikan projek itu.

“Syarikat perlu untung daripada setiap unit yang dijual atau saya akan membahayakan syarikat secara keseluruhannya.

 

“Apabila banyak syarikat menghasilkan kereta elektrik mengalami kerugian, saya yakin risiko sangat tinggi,” katanya.