SETELAH lama hilang dari radar industri seni, kumpulan Voices of Euphonious atau VE bakal membuat penampilan semula menerusi karya terbaharu mereka tidak lama lagi.

Kali terakhir kumpulan yang memperjuangkan muzik R&B itu tampil dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh pada tahun 2006.

Selepas 13 tahun, VE yang dianggotai oleh Damian Mikhail, Shahrin Azmir, Charma Adizalilullah dan Zafri Nazaruddin itu turut menampilkan dua ahli baharu iaitu Adeep Nahar serta Luqman Hakim untuk meneruskan perjuangan muzik mereka.

Meskipun perlu mengadaptasi trend muzik terkini yang rata-ratanya dikuasai penyanyi generasi muda atau lebih dikenali sebagai BBNU, kumpulan yang cukup popular dengan lagu Ayu itu tetap yakin dengan misi mereka.

“Sejak dari dulu lagi VE ada identiti dan hala tuju muzik kita sendiri dan kita sentiasa berpegang kepada itu. VE merupakan kumpulan vokal harmoni dan kami akan kekalkan trademark tersebut.

“Kami faham dengan trend muzik BBNU ketika ini dan cuba untuk berada di landasan selari, cuma dengan cara kami.

“Apa yang penting kita nak wujudkan situasi sihat dalam industri di mana kita buat kepelbagaian dan dalam masa yang sama mendidik pendengar untuk lebih menghargai muzik,” ujar Damian kepada Sinar Harian menerusi temubual secara virtual baru-baru ini.

VE baru-baru ini turut tampil menerusi kempen #coverlagurayaTV3 yang menyaksikan mereka merakamkan kembali lagu-lagu raya nostalgia secara medley dengan sentuhan muzik baharu.

“Kami melihat penglibatan ini sebagai satu peluang terbaik untuk memberitahu kepada peminat VE tentang penampilan semula kami bersama dua ahli baharu iaitu Adeep dan Hakim.

“Alhamdulillah walaupun projek ini berlaku pada saat-saat akhir, namun sambutan yang diterima sangat baik dan dapat mengubat rindu peminat yang mungkin lama menantikan kemunculan semula kami,” ujar Damian.

Iklan

Ubat rindu peminat

Mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak melambatkan perancangan mereka untuk tampil semula bertemu peminat dengan karya baharu, VE bagaimanapun percaya akan tiba masa terbaik untuk mereka.

“Sebelum PKP dilaksanakan, kami sibuk mengumpul material dan berjumpa dengan ramai komposer baharu dan lama untuk dapatkan lagu yang akan dimuatkan dalam album nanti.

“Bagaimanapun disebabkan PKP, proses tersebut jadi terganggu sedikit. Kami tidak dapat berjumpa dan hanya berhubung menerusi panggilan video untuk berbincang dan berkongsi idea memantapkan perancangan sedia ada.

Iklan

“Apabila PKP dilonggarkan, barulah kami kembali fokus dan melakukan penambahbaikkan untuk pembikinan album ini,” katanya.

Dalam pada itu, VE menganggap PKP mempunyai hikmah yang tersendiri buat mereka apabila menggunakan masa tersebut untuk menyesuaikan diri dengan platform media sosial bagi memudahkan mereka berkongsi karya pada masa akan datang.

“Dulu ketika kami masih aktif, platform media sosial masih belum wujud. Jadi sekarang masa untuk kami adaptasi semua trend baharu masa kini,” akhiri Damian.