IMPIAN penyanyi Khai Bahar untuk berkolaboratif bersama kumpulan nasyid yang diminati, Inteam, akhirnya menjadi kenyataan apabila keduanya menjalinkan kerjasama menerusi lagu Setanggi Syurga 2020.

Lagu nyanyian asal kumpulan Inteam yang dipetik daripada album Inteam ’04 dan pernah popular sekitar tahun 2014 itu dirakam semula dengan susunan muzik baharu.

Cinta Setanggi yang diterbitkan Seventeen Eleven Music itu baru sahaja dilancarkan pada 21 April lalu.

Menurut Khai yang sebelum ini dikenali dengan lagu-lagu bergenre pop, kerjasama tersebut memberi ruang kepadanya untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya nyanyiannya.

“Saya sebenarnya merupakan peminat kumpulan nasyid sejak dulu lagi. Jadi bila mendapat peluang sebegini, saya rasa sangat teruja untuk jalinkan kerjasama.

“Menyanyikan lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan memang memberikan kepuasan yang tidak dapat diungkapkan. Apatah lagi pada bulan Ramadan yang mulia dan di saat kita berdepan dengan musibah tidak terjangka ini.

“Saya harap mesej-mesej positif daripada lagu Setanggi Syurga 2020 ini dapat meresap masuk ke hati para peminat yang mendengar lagu ini,” ujar Khai.

Khai yang sebelum ini pernah tampil berduet bersama beberapa penyanyi popular tanah air, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Cinta Syurga pada tahun lalu menyifatkan setiap gandingan yang dilakukan mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Alhamdulillah saya berpeluang untuk bergandingan dengan beberapa penyanyi dengan genre lagu berbeza.

“Begitu juga dengan Setanggi Syurga 2020 bersama Inteam yang saya sifatkan memberi pengalaman baharu pada saya.

“Banyak benda yang saya belajar baik ketika menjalani rakaman lagu ini ataupun selepasnya. Inteam banyak membantu dan memberi persepsi baharu kepada saya terhadap lagu-lagu nasyid,” katanya yang berhasrat untuk mencipta lagu berunsurkan ketuhanan selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Khai mengharapkan agar para peminatnya bersabar menantikan persembahan solo yang dijanjikan menerusi Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang sepatutnya berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu di Istana Budaya, namun terpaksa ditunda akibat pandemik Koronavirus (Covid-19).

“Konsert tersebut terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19, tetapi ia tidak dibatalkan. Jadi saya harap kepada pembeli tiket dan peminat semua, mohon bersabar menanti tarikh baharu yang diumumkan nanti.

“Saya berterima kasih kerana ramai peminat yang faham situasi ini, malah memberi sokongan pada sesama sendiri.

“Insya-ALLAH ada hikmah di sebalik apa yang terjadi ini. Mungkin ALLAH nak bagi yang lebih baik pada masa akan dating. Jadi kita tunggu sahaja apa perkembangannya,” kata Khai.

Inteam terima sokongan padu

Sementara itu, kumpulan Inteam yang dianggotai oleh Hisyam, Hazamin Syah dan Rahim mengharapkan agar versi baharu lagu Setanggi Syurga yang pernah menaikkan nama mereka suatu ketika dulu itu mendapat sokongan ramai.

Iklan

Mengakui tidak dapat lari daripada perbandingan yang dilakukan peminat untuk versi asal dan terbaru, kumpulan nasyid ini yakin kedua-duanya ada kelebihan.

“Kami tak nafikan, bila kita buat lagu lama dengan nafas baharu, orang cenderung buat perbandingan apakah versi baharu ini setanding atau lebih baik dengan versi terdahulu.

“Pada kami, kedua-duanya ada kelebihan tersendiri. Ada yang memuji dan suka versi asal, namun dalam masa yang sama, ramai yang menggemari versi terbaru yang dikatakan lebih istimewa.

“Mungkin kelebihannya kerana penampilan Khai Bahar yang memberikan kelainan menerusi vokalnya yang sangat sesuai bergandingan dengan suara kami,” kata Hisyam mewakili Inteam.

Tambah Inteam, gandingan bersama Khai Bahar turut berjaya menarik peminat baharu untuk mendengar lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan.

Iklan

“Dari peringkat awal projek ini nak dijalankan, kami memang ada perancangan jalinkan kerjasama dengan penyanyi generasi baharu untuk beri kelainan.

“Kami memilih Khai kerana tengok dia selalu cover lagu-lagu nasyid termasuk Inteam dan kebetulan vokal dia sesuai untuk digandingkan dengan kami.

“Alhamdulillah pilihan tersebut tepat dan Setanggi Syurga 2020 kini trending di YouTube sejak dilancarkan,” kata Inteam yang mengharapkan agar ada kerjasama lain pada masa akan datang.

 

(FOTO: Instagram Khai Bahar)