Myanaliza Ruslee atau lebih dikenali dengan nama Maya Matahari  merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengacara dan pernah bergelar penyampai radio.

Maya dilahirkan pada 13 Mei 1976 di Johor Bahru, Johor.

Allahyarhamah menceburi bidang seni pada 25 Mac 1995 dengan album pertamanya berjudul ‘Matahari’.

Sejak itu Maya terus dikenali dengan nama Maya Matahari apabila lagu berjudul Matahari menjadi siulan ramai.

Dua buah album Maya kemudian menyusul iaitu ‘Diari Biru’ dan ‘Mata. Namun tetap tidak dapat menandingi kehebatan lagu Matahari. Disebabkan itulah, nama Maya terus dikenali dengan panggilan Maya Matahari.

Matahari

Terbit sinar mentari
Saban hari
Mengejut mimpi
Dari lena
Riang kenari
Di cemara
Mengusik sukma

Bunga-bunga matahari
Anggun mekar
Di taman sari
Warna jingga
Suntingan hati
Bagai tanda
Kasih bersemi

Hangatnya sinaran
Walau getir ku tempuh dugaan
Menyahut wawasan
Ku pohonkan segunung harapan

Bangkitkan citramu insan
Dalam diam menyambung warisan
Sekilas sinar mentari
Melewati di senja menanti

Maya juga berbakat dalam bidang lakonan. Antara lakonannya adalah dalam filem Gemerlapan pada tahun 1997. Pernah juga mendapat peluang berlakon teater Nyiur Gading Puncak Mahligai, Uda & Dara, Seruan Damai dan Hotel Malaya serta banyak lagi drama dan sitkom televisyen.

Iklan

Dalam kehidupan peribadinya, Maya pernah berkahwin pada 26 Jun 2009 dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz namun perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga Ogos 2015. Pasangan ini tidak mempunyai cahaya mata.

Pada 2018, Maya membuat kemunculan kembali dengan lagu terbaru ‘Perlu Ada Setia’ dan pada masa yang sama menjadi peserta Gegar Vaganza musim yang kelima.

Selepas itu Maya telah dilamar untuk menjadi penyampai radio di Best FM dan menggunakan nama Mya Ruslee.

Iklan

Maya meninggal dunia pada usia 44 tahun akibat kanser.

Ketika hayatnya, Maya seorang yang periang dan cukup mudah didekati. Antara rakan-rakan artis yang rapat dengannya seperti Haiza, Ieda Moin, Jaafar Onn, Rohana Jalil dan ramai lagi.

Sehingga kini, walaupun Maya telah tiada, namun lagu Matahari akan terus kekal dalam kenangan industri hiburan tempatan.
Alfatihah
Myanaliza Ruslee
(1976 – 2020)