PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus unggul pada kedudukannya tersendiri dengan penghasilan album demi album selama lebih dua dekad melibatkan diri dalam bidang seni.

Terbaru, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagi Jerat Percintaan itu tampil dengan album solo studio ke-18 yang berjudul ManifestaSiti2020.

Selepas tiga tahun menanti, Siti melunaskan janjinya kepada peminat menerusi penghasilan album yang memuatkan 11 buah lagu itu.

Enam daripadanya merupakan lagu baharu, manakala empat lagi adalah single terdahulu Siti, selain lagu lama nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang diberikan nafas baharu, Teratai Menjelma.

“Alhamdulillah selepas berdepan pelbagai cabaran dan kekangan, akhirnya album ini menemui peminat setelah hampir setahun melalui proses pembikinannya.

“Sepatutnya ia dilancarkan pada April lalu, namun disebabkan krisis kesihatan dunia, Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru sekarang ia menjadi kenyataan.

“Saya cuba berikan yang terbaik agar mereka bukan hanya suka pada beberapa lagu sahaja, tetapi semua lagu yang terkandung dalam album yang cukup bersejarah pada tahun 2020 ini,” ujarnya.

Biarpun tertangguh beberapa bulan, Siti tidak merasa kecewa kerana percaya kepada hikmah yang hadir bersamanya.

“Saya reda dan sedikitpun tidak ada rasa kecewa atau terkilan kerana ketika pandemik sedang melanda, perkara yang kita harus utamakan adalah kesihatan dan keselamatan kita sendiri.

“Walaupun banyak kerja tertangguh, kita dapat sambung semula apabila semua dah OK dan alhamdulillah dapat buat yang lebih baik lagi kerana kita mempunyai masa untuk membuat penilaian semula.

“Hasilnya ada beberapa lagu yang saya rakam balik dengan memberikan penambah-baikan sebelum ia dilancarkan,” kata Siti.

Sekitar majlis pelancaran album ManifestaSiti2020 di The Sphere, Bangsar South, Kuala Lumpur

Mengulas lanjut, Siti berkata, kesemua lagu yang terkandung dalam album terbaharunya itu mempunyai ceritanya yang tersendiri termasuk lagu Kuasa Cinta ciptaan Melly Goeslaw dan lirik oleh Siti sendiri.

Tambah Siti, lagu tersebut mempunyai sentuhan peribadi daripadanya yang mendedikasikan lirik yang ditulis itu kepada anak tunggalnya, Siti Aafiyah Khalid, 2.

“Lagu Kuasa Cinta agak istimewa kerana ia bercerita tentang penantian saya untuk mendapatkan Aafiyah.

“Merupakan luahan hati yang disampaikan menerusi lirik lagu itu setelah doa saya  dimakbulkan,” akui Siti yang turut menulis lagu Tertulis Nama Kita.

Siti sebak dapat kembali berkumpul

Dalam pada itu, Siti yang ditemui ketika pelancaran album ManifestaSiti2020 di The Sphere, Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini gagal mengawal emosi dan menitiskan air mata kerana terharu dapat kembali berkumpul bersama selepas lebih tiga bulan menjalani PKP di rumah.

Iklan

“Saya sebenarnya sebak bila dapat kembali berkumpul bersama setelah apa yang kita lalui selama beberapa bulan ini.

“Bila sebut tentang cabaran dan kesukaran yang dihadapi, saya percaya ramai antara kita yang stuggle dan berkorban dalam tempoh itu.

“Saya sendiri melalui hal sama di mana cabaran dilalui dalam dua bidang yang saya ceburi iaitu nyanyian dan perniagaan.

“Jadi bila pada Julai ini, dapat kembali mulakan kerja tertangguh, saya sedikit tersentuh,” akui Siti.

Bagaimanapun, Siti mengharapkan agar kerajaan memberi sedikit kelonggaran agar persembahan pentas dapat dijalankan untuk kelangsungan kerjaya nyanyian.

Iklan

“Buat masa ini penyanyi masih belum dibenarkan buat persembahan pentas atau konsert, sedangkan itulah punca pendapatan utama.

“Saya harap diberikan sedikit kelonggaran agar rakan-rakan semua dapat kembali bekerja,” katanya.

 

(FOTO: Rosli Talib)