SELEPAS lebih 10 tahun, akhirnya impian penyanyi dan komposer sedang meningkat naik, Ippo Hafiz untuk menghasilkan lagu buat Datuk Seri Siti Nurhaliza, menjadi kenyataan.

Biarpun pernah mencuba nasib menerusi album Siti Nurhaliza sebelum ini dan tidak terpilih, Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 31, tidak pernah berputus asa, malah terus menghasilkan karya yang lebih baik dari masa ke semasa.

Akhirnya rezeki menyebelahi apabila lagu ciptaannya, Aku Bidadari Syurgamu menjadi salah sebuah lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu penyanyi tersohor negara itu, ManifestaSiti2020.

“Alhamdulillah, rasa macam mimpi lagu ciptaan saya akhirnya dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dan dimuatkan dalam album terbaharunya.

“Dari awal bergelar komposer, saya sering membayangkan kalaulah dapat buat lagu untuk Siti Nurhaliza.

“Lagu ini sebenarnya dihasilkan untuk lagu tema drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang menyaksikan kerjasama saya dengan penerbit dan novelis Siti Rosmizah sebagai penulis lirik,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman ketika proses rakaman, Ippo yang juga bertindak sebagai penerbit lagu tersebut mengakui agak gementar untuk bekerja dengan Siti Nurhaliza buat pertama kali.

“Ketika tunggu maklum balas Siti untuk demo lagu itu pun saya dah gementar, apatah lagi bila diberi tanggungjawab sebagai penerbit dan bekerja dalam studio bersama.

“Bayangkan orang baharu macam saya diberi peluang jaga vokal Siti ketika rakaman tersebut.

“Apa pun semuanya berjalan lancar dan Siti sangat menyenangkan sepanjang proses rakaman.

“Walaupun dia ada nama besar, tetapi sangat merendah diri dan sudi mendengar idea yang diberikan orang lain,” kata Ippo.

Mahu kongsi karya di Indonesia

Tidak mahu hanya berhenti di situ, Ippo yang kini semakin aktif menghasilkan lagu, berhasrat untuk melebarkan pengaruhnya di Indonesia pula.

“Ketika awal berjinak-jinak dalam bidang seni, saya dikenali sebagai seorang penyanyi walaupun kecenderungan saya lebih kepada bidang penciptaan lagu.

Iklan

“Saya gunakan peluang itu untuk membina nama sebelum berkongsi karya ciptaan saya kepada umum agar ia menjadi lebih mudah.

“Jadi apabila lagu-lagu ciptaan saya makin diterima, mungkin ini adalah masa terbaik untuk saya terus mengorak langkah lebih jauh.

“Selepas impian bersama Siti Nurhaliza tercapai, saya kini mensasarkan penyanyi Indonesia pula untuk menyampaikan lagu-lagu ciptaan saya, insya-ALLAH,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ippo baru sahaja tampil dengan lagu kempen produk penjagaan rambut Faithfleur yang menampilkan Erra sebagai duta, selain single terbaharu berjudul Ainaa.

Iklan

“Alhamdulillah, selepas PKP kerjaya seni kembali aktif dan saya cuba mengejar kembali apa yang tertinggal sebelum ini.

“Kedua-dua lagu tersebut mendapat respon yang cukup baik daripada peminat dan ia sudah cukup memberikan saya semangat untuk terus berkarya,” ujar Ippo yang menghasilkan puluhan lagu tema drama popular.

 

(FOTO: Rosli Talib & Instagram Ippo Hafiz)