Langkah mudah penjagaan kereta di rumah musim PKP         

April 26, 2020
Oleh Farah Eliani

SUDAH sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlalu, mungkin sudah sebulan juga kereta dibiarkan tersadai di bawah garaj. Lebih-lebih lagi arahan PKP tidak membenarkan orang ramai keluar melebihi 10 kilometer dari rumah.

Hendak ke pusat servis atau bengkel pula, kemudahan itu tidak beroperasi sepanjang PKP ini. Namun begitu, beberapa perkara boleh dilakukan untuk memastikan kereta terus berada dalam keadaan baik.


Ambillah sedikit masa untuk menjenguk kereta kita biarpun sibuk beribadah atau keletihan pada bulan puasa ini. Apa yang penting, lakukan pemeriksaan berkala yang tidak memerlukan kemahiran teknikal.

Menurut perkongsian syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), anda hanya perlu ada buku panduan kenderaan dan mungkin juga lampu suluh. Berikut ialah lima perkara wajib buat yang dikongsikan Proton:

1. Cecair/ bendalir

Iklan

Cecair di dalam kereta memainkan peranan penting bagi hampir kesemua aspek termasuklah kecekapan, prestasi dan penjimatan bahan api.

Terdapat lima jenis cecair yang perlu diperiksa iaitu minyak pelincir, cecair penyejuk, minyak brek, cecair stereng berkuasa dan cecair pencuci cermin hadapan.

Iklan

Aspek paling penting ialah minyak pelincir. Ini kerana komponen yang berada di dalam enjin akan berputar beribu-ribu kali dalam masa satu minit, justeru minyak pelincir itulah yang akan membantu melancarkan putaran tersebut.

Bagi memastikan minyak pelincir mencukupi, hampir kesemua kereta dilengkapi batang celup atau dipstick di bahagian enjin. Ia biasanya berwarna kuning manakala pemegangnya kelihatan seperti cincin.

Matikan enjin terlebih dahulu, tarik batang celup, lap sisa minyak dengan kain bersih dan ulang celup untuk mendapatkan bacaan yang tepat.

Fungsi cecair penyejuk pula adalah untuk menghalang enjin daripada terlalu panas dengan cara memindahkan haba daripada enjin ke radiator. Kebiasaannya bekas cecair penyejuk berwarna putih dan jenis telus, terletak di bahagian depan ruang enjin untuk memudahkan pengguna memeriksa secara visual paras cecair penyejuk di dalamnya.

Selain itu, cecair penting lain ialah bendalir brek yang berfungsi menggerakkan pelbagai komponen sistem brek kereta. Paras cecair brek mudah diperiksa. Cari penutup berwarna putih di bahagian belakang berdekatan kabin kereta.

Sekiranya penutup tersebut adalah jenis telus, ia akan lebih senang diperiksa dan jika sebaliknya, buka penutup untuk melihat paras cecair di dalam bekas berkenaan. Pastikan enjin kereta dimatikan dan tidak panas sebelum membuka penutup.

Sistem stereng kuasa juga memainkan peranan penting. Kebanyakan kereta masa kini dilengkapi sistem stereng kuasa hidraulik yang membantu menjadikan pemanduan jauh lebih mudah.

Untuk memeriksa cecair stereng, cari takungan (reservoir) di ruang enjin. Selalunya ia mudah dilihat kerana penutupnya akan dilabelkan sebagai ‘Power Steering’.

Jika tiada sebarang label, cari ikon stereng. Sesetengah kereta mempunyai reservoir separa telus yang akan memudahkan kerja memeriksa paras cecairnya, sementara kereta lain mempunyai batang celup yang terlekat pada penutup.

Akhir sekali, jangan lupakan cecair pencuci cermin hadapan. Pastikan ia diisi agar cermin kereta dapat dibersihkan untuk memberikan pandangan yang lebih jelas.

Sekiranya cecair berkurangan, isi semula. Akan tetapi jika tidak tahu bagaimana hendak melakukannya, kunjungilah pusat servis setelah tempoh PKP berakhir.

2. Bateri

Fungsi bateri kereta adalah  untuk menghidupkan komponen elektrik di dalam kereta. Selain menghidupkan enjin kereta dan  memastikan alternator mengecas bateri, kita juga perlu memastikan pengapit bateri dipasang ketat, bersih dan tidak berkarat.

Pemeriksaan bateri secara fizikal penting untuk mengesan sebarang keretakan. Pertama, periksa sama ada terdapat bonjolan pada permukaan bateri. Selepas itu, periksa pengapit bateri untuk melihat kesan-kesan hakisan.

Catat tarikh menukar bateri pada buku panduan pemilik. Sebagai alternatif, jika mempunyai voltmeter di rumah, periksa voltan bateri. Bacaan di bawah 14v semasa enjin dihidupkan bermakna bateri lemah. Seeloknya, periksa alternator jika bacaan lebih rendah daripada itu.

3. Lampu

Pastikan lampu depan, lampu belakang, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi sebelum memulakan pemanduan. Satu cara mudah memeriksa lampu belakang adalah dengan meletakkan kereta berdekatan dinding dan gunakan cermin pandang belakang untuk melihat sama ada lampu berfungsi dengan baik.

Andai ada  lampu yang tidak terang, gantikan mentolnya.

4. Tayar

Perkara pertama yang perlu diperhatikan ialah jika terdapat sebarang rekahan, koyakan atau lekukan.

Lihat kalau ada tayar yang kurang angin. Jika ada, pam tayar tersebut. Lakukan hanya jika anda benar-benar perlu keluar untuk mendapatkan barang keperluan.

Seterusnya tekanan angin tayar. Sebaiknya, gunakan tolok tekanan tayar. Tekanan tayar yang betul boleh didapati di dalam buku panduan atau di tepi pintu pemandu. Tekanan tayar yang disyorkan adalah berbeza untuk setiap kereta.

Perhatikan juga bebenang tayar. Setiap tayar dilengkapi dengan indikator bunga haus yang terletak di antara blok bunga. Sekiranya ia dilihat separas dengan penunjuk, maka sudah tiba masanya menggantikan dengan tayar yang baharu.

5. Bilah pengelap

Semakin kerap menggunakannya, getah bilah pengelap akan beransur-ansur keras dan merekah. Semasa digunakan, garis-garis akan muncul pada cermin sekali gus menjejaskan penglihatan ketika memandu.

Sebaik sahaja menyedari pengelap tidak memberikan sapuan yang jelas malahan meninggalkan garisan atau menghasilkan bunyi, bermaksud perlu menukarnya sebaik sahaja tamat PKP.

Angkat bilah pengelap tersebut jika kereta diparkir di bawah terik matahari dan bersihkannya dengan tuala lembap. Ini bagi memastikan ia boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.

Untuk panduan berguna Proton, layari https://www.proton.com/en/corporate/staysafe-staystrong-malaysia.  

Iklan