SELAIN menjaga kecantikan wajah, kelembutan kulit juga perlu dijaga terutama tapak tangan.

Melakukan pelbagai kerja dapur menjadikan tapak tangan anda sedikit kasar.

Penjagaan rapi perlu dilakukan supaya kulit sentiasa sihat, halus dan lembab.

Kali ini Sinar Plus berkongsi petua melembutkan tangan hanya menggunakan bahan-bahan semula jadi dengan mudah.

1. Gula + Minyak Zaitun

Petua ini memang ramai orang guna. Campurkan 1 sudu besar minyak zaitun dengan satu sudu besar gula sehingga ia menjadi seperti pes. Sapukan pes itu di keseluruhan tangan dan fokuskan pada bahagian celah kuku serta jari-jemari. Setelah beberapa ketika melakukan skrub tersebut, basuh ia dengan air seperti biasa.

Manfaat minyak zaitun adalah untuk melembab, gula pula untuk mengikis sel kulit mati serta daki di tangan. Hasilnya, tangan nampak cantik dan lembut.

2. Lendir lidah buaya

Potong lidah buaya kepada dua bahagian, ambil lendirnya dan gosok pada tapak tangan. Jangan sampai terkena kulit lidah buaya kerana boleh menyebabkan kulit gatal atau iritasi. Biarkan sehingga lendir lidah buaya kering, kemudian bilas dengan air bersih. Lakukan petua ini tiga kali seminggu.

3. Minyak kelapa

Gosokkan minyak kelapa pada tapak tangan dan urut dengan lembut. Biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air yang sejuk tanpa menggunakan sabun. Ini akan mengekalkan kelembapan kulit anda dan elak dari menjadi kering.

4. Garam bukit

Iklan

Masukkan garam bukit di dalam air suam, boleh juga ditambah minyak aromaterapi untuk kesan yang lebih baik. Kemudian rendam tangan anda selama 10 hingga 15 minit. Bilas dengan air sejuk. Akhiri dengan penggunaan losyen tubuh.

Air garam bukit merawat bahagian bermasalah, membuang toksin, kotoran dan menyingkirkan sel kulit mati. Kulit akan tampak bersih, cerah dan tapak tangan menjadi semakin halus.

5. Air basuhan beras

Simpan air basuhan beras dan rendamkan kedua-dua tapak tangan selama 5 minit. Jangan terus basuh, tunggu sehingga kering kemudian baru bilas.

Iklan

6. Vaseline

Tidak termasuk dengan bahan semulajadi. Tapi seperti yang anda tahu, memang banyak kebaikan Vaseline untuk kecantikan. Selain digunakan sebagai agen pelembap kulit, gunakan ia sebagai mask untuk tangan. Sapu Vaseline pada keseluruhaan tangan termasuk tapak tangan kemudian, pakai sarung tangan getah dan biarkan ia sepanjang malam. Keesokannya, basuh dan pastinya tangan anda halus dan lembut sebaik bangun daripada tidur!

Selain daripada menggunakan petua melembutkan tangan seperti di atas, anda juga boleh menggunakan losyen. Semoga bermanfaat!

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: CANVA