PENYAMPAI radio Kool FM, Linda Onn berkongsi pengalaman yang dilaluinya saat berdepan serangan panik sejak hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Menurut Linda, serangan panik itu berlaku selepas diminta menjalani kuarantin setelah pulang dari Singapura dan mengalami selsema. Situasi itu menyebabkan dia mula berfikir bukan-bukan.

Katanya, dia mengalami simptom jantung berdegup laju, tangan dan kaki sejuk, berpeluh, sesak nafas dan banyak lagi.

“Kalau perasan, sejak hari pertama sehingga ketujuh (PKP), setiap hari saya kongsi aktiviti kuarantin di rumah. Niat hati nak kemas kini setiap hari. Tapi pada hari kelapan hingga 13, saya tak kemas kini apa-apa kerana mengalami serangan panik.

“Jadi saya pergi jumpa psikiatri dan terangkan satu persatu. Semua yang saya terangkan itu ada dalam buku panic disorder doktor itu dan dia mengesahkan semua itu adalah simptom serangan panik,” kongsi Linda menerusi laman Instagramnya.

Tambah Linda, apabila diserang panik dia jadi banyak berfikir dan resah tentang pelbagai perkara.

“Bila dah panik, mulalah kita rasa kita sakit itu, sakit ini. Kemudian, ada orang cadangkan itu dan ini. Mesej Whatsapp yang masuk semua cerita pasal ini.

“Nak keluar rumah tak boleh, nak cerita kat Zara (anak), dia tak faham lagi. Fikiran pun jadi celaru. Apatah lagi pada musim Covid-19 ini.

“Semua sebab-sebab itu buat saya fikir terlalu banyak dan jadi risau gelisah. Hanya tenang sewaktu solat dan baca al-Quran sahaja,” kata Linda.

Iklan

Linda itu juga berkata, semenjak dari itu, dia tidak lagi mendengar atau menonton berita.

“Saya tak nak ambil tahu. Jadi saya tidak buka Facebook, Instagram, mesej Whatsapp, membaca berita atau menonton TV.

“Tapi masih kena serangan panik dan ia boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja,” kongsinya.

Iklan

Bagaimanapun, selepas seminggu, keadaan Linda bertambah baik dan kembali bertugas bertugas di konti radio pada Rabu.

“Selepas seminggu, barulah saya dapat bernafas sikit. Mungkin fikiran dah lebih positif. Tapi dada masih sakit sebab jantung kerja keras waktu kejadian.

“Hari ni (Rabu) adalah hari pertama Linda kembali ke udara di radio. Jadi, otak kembali fokus pada kerja dan tak fikir sangat pasal perkara bukan-bukan lagi. Insya-ALLAH, lepas ini saya akan kuatkan pemikiran,” katanya.