PERCAYA atau tidak, kadang-kadang membuat kuih tradisional ini pun ada pantang larangnya. Lebih-lebih lagi jika ia sejenis juadah sejak dahulu kala yang jarang sekali didengari namanya.

Kuih perigi buta antara contohnya. Pernah mendengarnya?

Kuih tradisional negeri Perak tersebut juga dikenali dengan nama cememek. Ada juga yang memanggilnya dengan nama kuih badak berendam dan kuih sampan.

Tidak kurang juga ada yang mengenalinya dengan kuih limas dan tepung pelita. Namun begitu, kesemuanya sebenarnya tidak sama cara pembuatannya.

Peminat kuih tradisional, Fatin Damia Ulfa Shuib tidak kedekut berkongsi ilmu dengan SinarPlus dan rakan di media sosial tentang tatacara menghasilkan juadah lama itu.

“Untuk membuat kuih ini, jangan buka kipas. Nanti adunan jadi keras dan tidak boleh digentel selain teksturnya tidak licin.

kuih perigi buta

“Masa mula-mula buat kuih ini, saya memang teliti dan ikut cakap orang lama sebab mereka cukup ikut pantang larang,” ujarnya yang manis dengan senyuman apabila bercerita mengenai pantang larang membuat kuih perigi buta itu.

Gadis berusia 26 tahun berkenaan memberitahu, setiap kali belajar membuat kuih dengan orang-orang berpengalaman, perlu fokus dan ‘jangan derhaka‘ resipi.

“Orang lama ini lazimnya pentingkan kesempurnaan. Bila buat kuih yang ada tepung pulut, jangan sesekali buka kipas sebab nanti adunan akan jadi keras.

Artikel berkaitan: Ayam crunchy dengan biskut Hup Seng! Mudah, semua boleh cuba!

“Jadi saya ikut betul-betul apa yang mereka ajar. Lagi pula kuih ini banyak langkah, namun hasilnya cukup menyelerakan dan unik,” cerita bekas pelajar Sekolah Menengah Syed Hassan di Kangar, Perlis itu.

Keunikan

Bercerita mengenai keunikan kuih tradisional tersebut, menurut Fatin Damia, ia hanya popular dijual ketika bulan Ramadan dan dijadikan juadah berbuka.

Iklan

Barangkali rasanya yang lemak manis dan sejuk apabila ditelan menyebabkan ia menjadi pilihan masyarakat sebagai menu kegemaran.

“Jika nak buat kuih ini, saya sarankan guna santan asli. Rasanya lebih sedap. Tetapi jika tiada opsyen lain, boleh guna santan kotak. Cuma kena cairkan sedikit atau ditambah satu sudu minyak masak.

“Kalau boleh, jangan kukus lama sangat. Nanti kuih akan mengembang dan bahagian santannya menjadi kental keras. Kuih akan rasa lebih sedap jika santannya lembut sedikit,” kongsinya.

Anda mahu menikmatinya pada hari raya ini? Tiada salahnya jika hendak cuba membuatnya termasuklah pada bila-bila masa yang diingini!

kuih perigi buta

Iklan

Resipi Kuih Perigi Buta

Bahan Bahan:

  • 1 1/2 cawan tepung pulut
  • 1/2 cawan air pandan yang campur dengan santan
  • 1 cawan santan
  • 1 sudu makan tepung gandum
  • 1 sudu makan tepung ubi (boleh juga guna tepung jagung)
  • Sedikit gula
  • Garam secukup rasa

Cara-caranya:

  1. Campurkan tepung pulut dan air pandan yang dicampur santan. Gaul rata dan bentukkan doh.
  2. Buatkan lubang di tengah tengah doh tadi. Letakkan gula di dalamnya.
  3. Campurkan santan bersama tepung gandum, tepung ubi dan juga garam.
  4. Kukus selama 10-15 minit api besar.